Ubatan yang mencegah perdarahan bagi pesakit hemofilia atau penyakit Von Willebrand yang menjalani pembedahan kecil mulut atau cabutan gigi. 

Soalan sorotan

Kami mengulas bukti sama ada ubatan antifibrinolitik yang menyokong pembekuan darah seperti asid tranexamic atau asid epsilon aminocaproic dapat mencegah perdarahan dalam kalangan pesakit hemofilia atau penyakit Von Willebrand yang menjalani pembedahan kecil mulut dan cabutan gigi.

Latarbelakang

Hemofilia dan penyakit Von Willebrand adalah penyakit perdarahan yang diwarisi. Mereka yang mempunyai penyakit ini mempunyai risiko tambahan untuk komplikasi perdarahan semasa dan selepas pembedahan mulut atau cabutan gigi, walaupun prosedur adalah kecil dan biasa dilakukan.Jumlah dan keterukan perdarahan bergantung kepada faktor berkaitan penyakit (misalnya keterukan hemofilia), faktor berkaitan pesakit (misalnya keradangan gusi dan salur darah) dan faktor berkaitan intervensi (misalnya jenis dan bilangan gigi yang dicabut atau keluasan permukaan luka).Langkah-langkah seperti pemberian faktor pembekuan darah secara terus ke dalam aliran darah biasa diguna sebelum, semasa dan selepas pembedahan untuk mencegah komplikasi perdarahan.Walau bagaimanapun, langkah-langkah ini agak mahal dan berisiko, misalnya, pembentukan inhibitor dan transmisi jangkitan.Oleh itu, adalah penting untuk mencari kaedah alternatif bagi mencegah komplikasi perdarahan.Dalam amalan rutin, ubat antifibrinolitik sering digunakan sebelum, semasa dan selepas pembedahan, Namun, pada masa kini, tiada bukti saintifik yang jelas untuk amalan ini.

Tarikh carian

Bukti terkini sehingga 14 Disember 2015.

Ciri kajian

Kami tidak mendapati sebarang kajian ubat antifibrinolitik untuk mencegah perdarahan selepas pembedahan kecil mulut atau cabutan gigi dalam kalangan pesakit Von Willebrand.Sorotan ini melibatkan dua kajian terbitan 1970an dalam 59 pesakit hemofilia yang menjalani cabutan gigi.Dalam satu kajian, peserta berumur 13 hingga 65 tahun dan dalam kajian kedua, purata umur peserta adalah 34 tahun.
Satu kajian mengambil masa lima hari dan menggunakan asid tranexamic; kajian kedua selama 10 hari dan menggunakan asid epsilon aminocaproic.Kedua-dua kajian membandingkan ubatan aktif dengan plasebo sebagai tambahan kepada faktor pembekuan darah.

Keputusan utama

Secara keseluruhan, kedua-dua kajian menunjukkan pengurangan dalam jumlah perdarahan selepas cabutan gigi, dari segi kuantiti kehilangan darah dan keperluan faktor pembekuan dalam kalangan mereka yang dirawat dengan asid tranexamic atau asid epsilon aminocaproic berbanding plasebo. Apabila keputusan kedua-dua kajian digabungkan, laporan kajian menunjukkan bahan ubatan antifibrinolitik mengurangkan separuh kadar perdarahan selepas cabutan gigi.Kesan sampingan ubatan antifibrinolitik jarang berlaku dan menyebabkan penggunaan asid aminocaproic dihentikan dalam hanya satu kes.

Kualiti bukti

Dalam kajian asid epsilon aminocaproic, doktor kajian mengagihkan setiap orang untuk menerima plasebo atau rawatan aktif berdasarkan teknik pasangan berpadanan untuk umur, faktor-pencerakinan dan bilangan cabutan. Langkah pengagihan plasebo atau rawatan aktif yang dibuat oleh doktor kajian ini telah menimbulkan bias dalam pemilihan.Walau bagaimanapun, kami tidak fikir kesan ini memberi impak besar terhadap rumusan kajian. Secara keseluruhan, kedua-dua kajian adalah kecil dan berbeza antara satu sama lain dari segi bilangan peserta yang mengidap hemofilia serius, penggunaan faktor pembekuan serentak dan jadual rawatan antifibrinolitik yang berbeza.Secara keseluruhan, kami meletakkan kualiti yang rendah bagi bukti penggunaan antifibrinolitik untuk mencegah perdarahan dalam kalangan pesakit hemofilia selepas pembedahan kecil mulut. Tiada bukti diperolehi untuk pesakit Von Willebarnd.Namun, ia boleh dihujah jika ubat antifibrinolitik berkesan untuk pesakit hemofilia, ia mungkin juga berkesan untuk pesakit yang ada penyakit perdarahan lain yang menjalani cabutan gigi atau pembedahan kecil mulut.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini, sila hubungi hayatikk@usm.my

Tools
Information
Share/Save