Intervensi ergonomik untuk mencegah gangguan muskuloskeletal dalam kalangan pengamal penjagaan gigi

Apakah tujuan ulasan ini?

Kakitangan penjagaan gigi adalah lebih cenderung kepada kecederaan dan gangguan tulang, otot, dan sendi, yang dikenali sebagai gangguan muskuloskeletal (MSDs), disebabkan oleh stres kerja secara fizikal dan mental. Berbagai kaedah atau penyelesaian telah dicadangkan untuk mencegah MSDs berkaitan kerja (WMSDs). Ini dikenali sebagai intervensi ergonomik, yang bermakna mengharmonikan benda sekeliling dengan manusia yang berinteraksi dengannya, bagi memenuhi keperluan manusia, keupayaan, dan batasannya. Intervensi ergonomik terletak di bawah domain fizikal, kognitif (mental) atau organisasi. Tujuan Ulasan Cochrane ini ialah untuk menentukan jika ada mana-mana intervensi-intervensi ergonomik ini yang berkesan mencegah WMSDs dalam kalangan pengamal-pengamal penjagaan gigi. Kami telah mengumpul dan menganalisis semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ini. Kami menemui dua kajian yang relevan.

Mesej utama

Terdapat bukti yang berkualiti sangat rendah daripada satu kajian, iaitu intervensi ergonomik komprehensif, yang merangkumi latihan, modifikasi tempat kerja, dan program senaman yang konsistan (‘regular’) tidak ada kesan ke atas risiko WMSDs di bahagian peha atau kaki pengamal pergigian, sepanjang tempoh enam bulan. Terdapat bukti berkualiti rendah daripada satu kajian bahawa penukaran alat yang digunakan untuk mengikis plak gigi tidak memberikan kesan yang jelas ke atas kesakitan siku pengamal pergigian atau kesakitan bahu sepanjang tempoh empat bulan. Kedua-duanya kajian yang dimasukkan mempunyai beberapa kelemahan, dan peserta-peserta tidak disusuli bagi satu jangka masa panjang yang mencukupi. Kami tidak menjumpai kajian yang telah menilai keberkesanan intervensi kognitif atau ergonomik organisasi. Kami memerlukan kajian yang lebih baik untuk menilai keberkesanan intervensi ergonomik di kalangan pengamal penjagaan gigi. Ada kemungkinan kemasukkan keputusan hasil kajian baru akan mengubah kesimpulan ulasan ini.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Pengamal-pengamal pergigian sangat terdedah kepada hazad pekerjaan seperti MSDs, yang mana telah menyebabkan penurunan kualiti kehidupan, keletihan, dan kesihatan yang tidak baik, yang kerap menyebabkan sesetengah pengamal pergigian meninggalkan profesion. Telah dicadangkan bahawa pengenalan intervensi ergonomik, dengan membuat penambahbaikan dalam cara bekerja, peralatan yang diguna, rekabentuk pejabat pergigian, aktiviti fizikal, postur ketika bekerja, tahap stres mental, penjadualan temujanji, atau persekitaran tempat kerja mungkin dapat membantu mencegah WMSDs. Ulasan kami menilai keberkesanan semua intervensi ini dalam mencegah WMSDs di kalangan mereka yang mengamalkan bidang pergigian, doktor gigi, kakitangan kebersihan oral pergigian, pembantu pergigian, jururawat pergigian, atau pelajar-pelajar pergigian. Kami menilai bagaimana baiknya langkah-langkah ini mencegah kejadian WMSDs yang baru, bukan bagaimana ianya mengurangkan keterukan, atau bagaimana ianya menghilangkan WMSDS yang telah wujud. Kami menilai keberkesanan intervensi ergonomik ke atas bilangan WMSDs yang telah didiagnosis oleh pakar perubatan, kesakitan yang dilaporkan sendiri, atau keupayaan bekerja.

Apakah keputusan utama ulasan?

Kami menemui dua kajian, melibatkan 212 peserta yang telah dijalankan dalam amalan pergigian atau klinik-klinik di Iran dan Amerika Syarikat. Kedua-dua kajian menilai intervensi ergonomik fizikal. Satu kajian menilai intervensi ergonomik komprehensif, yang merangkumi latihan, modifikasi tempat bekerja, dan program senaman yang kerap /’regular’, dan kajian yang lain menilai dua jenis peralatan yang berbeza digunakan untuk menjalankan prosedur pergigian. Kajian pertama mendapati intervensi ergonomik komprehensif tidak mengurangkan kesakitan muskuloskeletal dalam peha atau kaki. Kajian kedua mendapati orang yang menggunakan dua jenis alat yang berbeza untuk mengikis plak gigi mempunyai tahap kesakitan siku dan bahu yang sama. Kajian-kajian ini mempunyai kelemahan seperti kaedah yang lemah dan jangka susulan yang pendek yang menyebabkan kami tidak dapat membuat apa-apa kesimpulan khusus berdasarkan penemuan mereka.

Kami tidak menjumpai kajian-kajian yang menilai keberkesanan intervensi kognitif atau ergonomik organisasi. Kami memerlukan kajian yang direkabentuk, dilaksanakan, dan laporan yang lebih baik untuk menilai kesan-kesan intervensi ergonomik fizikal, kognitif, dan organisasi.

Sehingga bila kah kemaskini ulasan ini?

Kami telah mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga Ogos 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information