Parasetamol (acetaminophen) untuk mencegah atau merawat kesakitan dalam kalangan bayi-bayi baru lahir

Soalan kajian semula: Adakah paracetamol berkesan dan selamat untuk mencegah atau merawat kesakitan bagi kesaikitan semasa prosedur atau selepas pembedahan; atau kesakitan yang berkaitan dengan keadaan klinikal dalam kalangan bayi yang baru lahir?

Latar belakang: Bayi yang baru lahir mempunyai keupayaan untuk merasai kesakitan. Bayi yang baru lahir yang dirawat di unit rawatan rapi neonatal terdedah kepada banyak prosedur yang menyakitkan. Bayi yang baru lahir yang sihat terdedah kepada kesakitan jika proses kelahiran adalah kelahiran vagina yang dibantu dengan pengekstrakan vakum atau forsep dan semasa pengambilan darah untuk ujian saringan bagi bayi yang baru lahir.

Ciri-ciri kajian: Kami telah mengenal pasti sembilan kajian yang melaporkan perbandingan antara parasetamol dan plasebo atau lain-lain intervensi mengurangkan kesakitan dalam kalangan 728 bayi. Pencarian kesusasteraan telah dikemaskini pada Mei 2016.

Keputusan utama: Parasetamol untuk cucukan tumit tidak mengurangkan kesakitan berbanding dengan plasebo (air atau eliksir ceri) atau berbanding dengan krim EMLA (campuran eutektik antara lidocaine dan prilocaine). Penggunaan parasetamol dikaitkan dengan tindak balas yang lebih kuat terhadap kesakitan daripada penggunaan glukosa. Parasetamol tidak mengurangkan kesakitan pada bayi yang terdedah kepada pengekstrakan vakum atau forsep ketika lahir, dan tindak balas mereka meningkat terhadap cucukan tumit berikutnya pada usia dua atau tiga hari berbanding dengan plasebo. Untuk pemeriksaan mata, parasetamol adalah berkesan dalam mengurangkan kesakitan berbanding dengan air dalam satu kajian, tetapi tindak balas kesakitan itu lebih kuat dalam kalangan bayi yang dirawat dengan parasetamol daripada bayi yang diberi 24% sukrosa. Dalam kalangan bayi yang dirawat dengan parasetamol dan morfin berbanding dengan morfin sahaja, jumlah morfin yang diperlukan semasa 48 jam pertama selepas pembedahan major kepada bahagian dada atau abdomen adalah kurang dalam kumpulan paracetamol. Parasetamol tidak mengurangkan kesakitan dengan ketara semasa cucukan tumit. Parasetamol yang diberi susulan kelahiran yang dibantu boleh meningkatkan tindak balas terhadap pendedahan kepada intervensi yang menyakitkan yang berlaku kemudian. Parasetamol boleh mengurangkan jumlah keperluan untuk morfin selepas pembedahan major, dan penyelidikan lanjut diperlukan dalam aspek penggunaan parasetamol ini.

Kualiti bukti: Secara umum kajian-kajian adalah berkualiti tetapi bilangan bayi yang terlibat dalam kajian yang berlainan adalah kecil. Kualiti bukti secara umum adalah rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Foo Sook Lee (Penang Medical College). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi fslee@pmc.edu.my.

Tools
Information
Share/Save