Pemindahan embrio segar berbanding dengan embrio beku untuk bantuan reproduksi

Soalan ulasan

Kami telah mengulas bukti tentang keberkesanan dan keselamatan strategi ‘beku-semua’ untuk wanita yang menjalani persenyewaan in vitro (IVF) atau suntikan sperma intrasitoplasmik (ICSI) berbanding dengan strategi konvensional IVF/ICSI, dari segi kadar kumulatif kelahiran hidup dan risiko sindrom hiperstimulasi ovari (OHSS).

Latar belakang

Pemindahan embrio dalam IVF/ICSI boleh dilaksanakan dengan menggunakan embrio segar atau yang dibeku-cair. Oleh itu, terdapat dua strategi pemindahan embrio dalam IVF: 1) Strategi konvensional IVF/ICSI dengan pemindahan tunggal segar dan satu atau lebih pemindahan embrio dibeku-cair, serta 2) Strategi ‘beku-semua’ dengan pemindahan embrio dibeku-cecair sahaja, serta tiada pemindahan embrio segar. Perbezaan dalam teknik pembekuan dan penjagaan masa krioawetan dan pemindahan wujud dalam kedua-dua strategi pemindahan tersebut. Dalam strategi beku-semua, pemindahan embrio terbebas dari rangsangan ovari dalam kitaran rangsangan ovari. Strategi ini mungkin bermanfaat, kerana hiperstimulasi ovari dicadangkan mempunyai kesan buruk terhadap keterbukaan endometrium untuk implantasi embrio. Strategi beku-semua akan mengurang risiko OHSS kerana kehamilan tidak berlaku dalam kitaran dengan rangsangan ovari.

Ciri-ciri Kajian

Kami melibatkan empat kajian yang membandingkan strategi beku-semua dengan strategi IVF/ICSI konvensional dalam jumlah 1892 orang wanita yang menjalani teknologi bantuan reproduksi. Bukti adalah terkini sehingga November 2016.

Keputusan-keputusan utama

Kami menemui bukti yang menunjukkan seolah-olahnya tiada perbezaan antara strategi dalam kadar kumulatif kelahiran hidup setiap wanita. Penemuan kami mencadangkan jika kadar kumulatif kelahiran hidup adalah 58% selepas strategi konvensional IVF/ICSI, kadar selepas strategi beku-semua adalah antara 56% dan 65%. Masa untuk kehamilan tidak dilaporkan sebagai hasil dalam kajian yang dimasukkan, tetapi boleh diandaikan lebih pendek dengan penggunaan strategi konventional IVF/ICSI yang termasuk pemindahan segar dalam kes kadar-kadar kumulatif kelahiran hidup yang sebanding, kerana pemindahan embrio dilewatkan dalam strategi beku-semua. Tidak menjalankankan pemindahan segar (strategi beku-semua) dapat merendahkan risiko OHSS dikalangan wanita dengan risiko OHSS. Penemuan kami mencadangkan jika kadar OHSS adalah 7% selepas strategi konvensional IVF/ICSI, kadar selepas strategi beku-semua adalah antara 1% dan 3%.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah sederhana hingga rendah oleh kerana risiko serius bias dan (untuk beberapa hasil) ketidaktepatan yang serius. Risiko bias dikaitkan dengan pembutaan penyelidik yang tidak jelas untuk hasil awal kajian, kesilapan unit analisa, dan ketiadaan garis panduan yang mencukupi bagi pemberhentian kajian.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Denise Chai (RCSI & UCD Malaysia Campus) dan disunting oleh Chan MW (RCSI&UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi denisechai@ms.pmc.edu.my atau chanmw@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save