Pemindahan tunai tanpa syarat untuk mengurangkan kemiskinan: kesan penggunaan perkhidmatan kesihatan dan hasil kesihatan di negara berpendapatan rendah dan sederhana

Soalan ulasan

Sesetengah program menyediakan pemindahan tunai atau geran untuk mengurangkan kemiskinan dan kerentanan tanpa mengenakan sebarang obligasi kepada penerima ('pemindahan tunai tanpa syarat' atau UCT) di negara berpendapatan rendah dan sederhana (LMICs). Pada masa yang lain, orang hanya boleh menerima pemindahan tunai ini jika mereka terlibat dalam tingkah laku yang diperlukan, seperti menggunakan perkhidmatan kesihatan atau menghantar anak mereka ke sekolah ('pemindahan tunai bersyarat' atau CCT). Ulasan ini bertujuan untuk mengetahui sama ada menerima UCT akan memperbaiki penggunaan perkhidmatan kesihatan dan hasil kesihatan mereka, berbanding dengan tidak menerima UCT, menerima jumlah UCT yang lebih kecil atau menerima CCT. Ia juga bertujuan menilai kesan-kesan UCT terhadap keadaan hidup harian yang menentukan perbelanjaan kesihatan dan penjagaan kesihatan.

Latar belakang

UCT adalah sejenis intervensi perlindungan sosial yang menangani pendapatan. Tidak diketahui sama ada UCT lebih, kurang atau sama efektif dengan CCT. Kami mengulas bukti mengenai kesan UCT terhadap penggunaan perkhidmatan kesihatan dan hasil kesihatan dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa di LMICs.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga Mei 2017. Kami memasukkan kajian UCT eksperimen dan bukan eksperimen dalam kalangan orang dari semua peringkat umur di LMICs. Kami memasukkan kajian yang membandingkan peserta yang menerima UCT dengan mereka yang tidak menerima UCT. Kami mencari kajian yang meneliti penggunaan perkhidmatan kesihatan dan hasil kesihatan.

Kami mendapati 21 kajian (16 eksperimen dan 5 bukan eksperimen) dengan 1,092,877 peserta (36,068 kanak-kanak dan 1,056,809 orang dewasa) dan 31,865 isi rumah di Afrika, Amerika dan Asia Tenggara. UCT tersebut adalah program kerajaan atau eksperimen penyelidikan. Kebanyakan kajian dibiaya oleh kerajaan kebangsaan dan/atau organisasi antarabangsa.

Keputusan utama

Kami menggunakan kata-kata 'mungkin' untuk menunjukkan bukti berkualiti sederhana, 'boleh/mungkin' untuk bukti berkualiti rendah, dan 'tidak pasti' untuk bukti berkualiti sangat rendah. Satu UCT mungkin tidak memberi impak kepada kemungkinan penggunaan perkhidmatan kesihatan dalam tempoh 1 hingga 12 bulan sebelumnya. UCT mungkin membawa kepada pengurangan klinikal yang bermakna, pengurangan yang sangat besar dalam risiko yang mengalami sebarang penyakit dalam tempoh dua minggu hingga tiga bulan sebelumnya. Ia boleh meningkatkan kemungkinan mendapat akses yang selamat kepada makanan pada bulan sebelumnya. Ia juga boleh meningkatkan bilangan purata kumpulan makanan yang berbeza yang untuk isi rumah sepanjang minggu sebelumnya. Walaupun beberapa kajian menyediakan bukti yang relevan, kesan-kesan UCT terhadap kemungkinan pembantutan dan tahap kemurungan masih tidak pasti. Tiada kajian yang menganggarkan kesan pada kematian. UCT mungkin membawa kepada kenaikan klinikal sederhana yang bermakna dalam kemungkinan kehadiran ke sekolah semasa. Bukti adalah tidak pasti sama ada UCT memberi impak terhadap pemilikan ternakan, kemiskinan yang melampau, penyertaan dalam buruh kanak-kanak, pekerjaan orang dewasa dan kualiti keibubapaan. UCT boleh meningkatkan amaun wang yang dibelanjakan untuk penjagaan kesihatan. Kesan UCT terhadap perbezaan dalam kesihatan adalah sangat tidak pasti. Kami tidak mengenal pasti sebarang mudarat daripada UCT. Tiga kajian eksperimen melaporkan bukti mengenai impak UCT berbanding CCT tentang kemungkinan menggunakan sebarang perkhidmatan kesihatan, kemungkinan mempunyai penyakit atau purata bilangan kumpulan makanan untuk isi rumah, tetapi bukti adalah terhad kepada satu kajian dalam setiap hasil dan tidak pasti bagi ketiga-tiga kajian.

Kualiti bukti

Daripada tujuh hasil utama yang diutamakan, bukti untuk satu hasil adalah berkualiti sederhana, untuk tiga hasil adalah berkualiti rendah, untuk dua hasil adalah berkualiti sangat rendah, dan untuk satu hasil, tiada bukti sama sekali.

Kesimpulan

Bukti ini menunjukkan bahawa pemindahan tunai tanpa syarat (UCTs) tidak boleh memberi impak kepada penggunaan perkhidmatan kesihatan dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa di LMICs. UCT mungkin atau boleh memperbaiki beberapa hasil kesihatan (iaitu kemungkinan mengalami sebarang penyakit, kemungkinan mendapat akses kepada makanan, dan kepelbagaian dalam diet seseorang), satu penentu sosial kesihatan (iaitu kemungkinan menghadiri sekolah), dan perbelanjaan penjagaan kesihatan . Bukti mengenai kesan kesihatan UCT berbanding dengan CCT adalah tidak pasti.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save