Kualiti udara sekitar - apakah cara berkesan untuk mengurangkan pencemaran dan memperbaiki kesihatan?

Mengapakah kami menjalankan ulasan ini?

Di seluruh dunia, pencemaran udara luar adalah masalah kesihatan awam yang serius. Pada tahun 2016, kira-kira 4 juta kematian adalah disebabkan oleh pencemaran udara, kebanyakannya disebabkan oleh penyakit kardiovaskular dan respiratori. Pencemaran udara juga dikaitkan dengan masalah kesihatan yang lain, seperti asma. Keadaan ini membimbangkan negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana, di mana kualiti udara mungkin bertambah teruk dan juga di negara-negara berpendapatan tinggi di mana tahap pencemaran telah menurun sejak beberapa dekad lalu.

Pelbagai dasar dan program telah dilaksanakan untuk mengurangkan pencemaran udara; contohnya sekatan kenderaan untuk mengurangkan trafik, standard bahan api untuk kereta, bas dan pengangkutan bermotor lain, peraturan industri untuk menghad pencemaran dari kilang-kilang, dan penggantian dapur yang tidak efisien dengan yang lebih efisien dan bersih. Setakat ini, tiada ulasan yang menyiasat secara sistematik sama ada langkah-langkah ini mengimpak pencemaran udara dan kesihatan seperti yang diharapkan.

Apakah matlamat ulasan ini?

Kami menyiasat sama ada langkah-langkah yang dilaksanakan bagi mengurangkan pencemaran udara di luar telah mengurangkan pencemaran udara dan memperbaiki kesihatan.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami mendapati 42 kajian yang menilai pelbagai langkah untuk mengurangkan pencemaran udara di negara-negara di dunia, walaupun kebanyakan kajian adalah dari negara berpendapatan tinggi. Kebanyakan kajian-kajian bertujuan mengurangkan pencemaran udara dari kereta dan kenderaan lain. Walau bagaimanapun, kami juga mengenalpasti langkah-langkah yang menangani masalah pemanasan dan memasak, industri, atau gabungan sumber yang berbeza.

Kami ingin tahu sama ada langkah-langkah tersebut membawa kepada pengurangan jumlah keseluruhan kematian, dan bilangan kematian akibat penyakit kardiovaskular dan respiratori. Kami juga menyiasat sama ada langkah-langkah tersebut dapat mengurangkan orang pergi ke hospital untuk masalah kardiovaskular dan pernafasan. Kami juga menilai sama ada sebarang perubahan kualiti udara sekitar, melihat kepada pelbagai bahan cemar, seperti partikel jirim dan partikel jirim halus dan bahan cemar dengan kriteria lain.

Kajian-kajian adalah pelbagai mengikut dasar atau program yang dinilai, tetapan dan konteks perlaksanaan, dan kaedah yang diguna untuk menilai.

Bukti yang dikenal pasti adalah berkepastian rendah dan sangat rendah, yang bermaksud kami tidak meyakini penemuan keseluruhan. Persoalan tentang kepastian timbul kerana cara kajian-kajian direka bentuk, dilaksanakan dan dianalisis. Walaupun beberapa kajian menggunakan kaedah yang teliti, tetapi yang lain tidak dilaksanakan sedemikian.

Secara keseluruhan, kami mendapati keputusan yang bercampur-campur merentasi kajian. Banyak kajian mendapati tiada perubahan jelas dalam kesihatan atau kualiti udara yang berkaitan dengan langkah-langkah tersebut, sementara kajian-kajian lain mendapati peningkatan yang jelas. Kami mengenal pasti sebilangan kecil kajian yang melaporkan kualiti kesihatan atau udara bertambah teruk yang dikaitkan dengan langkah-langkah tersebut.

Bagaimana kami mentafsir keputusan-keputusan tersebut?

Perbezaan dalam kajian-kajian menyukarkan kesimpulan am dibuat sama ada langkah-langkah tersebut berkesan. Mengesan perubahan dalam kesihatan populasi dan tahap pencemaran udara adalah mencabar, dan menilai sama ada perubahan yang berlaku adalah disebabkan oleh langkah tertentu adalah kompleks. Tahap pencemaran udara sentiasa berubah dan sering tidak diduga akibat cuaca dan faktor-faktor lain, dan perubahan lain yang berlaku pada masa yang sama juga boleh memberi impak kepada kesihatan populasi dan pencemaran udara. Apabila peraturan-peraturan untuk menghadkan pencemaran industri diperkenalkan, perlu diingat bahawa beberapa perubahan lain mungkin berlaku di latar belakang: peningkatan trafik dan peningkatan sistem pemanasan kediaman, misalnya, atau kemerosotan ekonomi yang membawa kepada pencemaran yang berkurangan. Ia boleh mengambil masa yang lama sebelum penambahbaikan dalam kesihatan menjadi jelas. Semasa mentafsir penemuan kajian penting untuk diingat bahawa jika suatu kajian tidak mengesan penambahbaikan, ia tidak bermakna bahawa benar-benar tiada peningkatan telah berlaku.

Penilaian lanjutan langkah-langkah untuk mengurangkan pencemaran udara sekitar di pelbagai negara, khususnya di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana, amat perlu. Di mana mungkin, penilaian masa depan perlu mengaplikasi kaedah yang lebih dipercayai dan terpiawai untuk menganalisis data. Ini akan membantu memperbaiki kualiti kajian individu serta keyakinan kami terhadap hasil-hasil kajian.

Adakah ulasan ini terkini?

Ulasan ini memasukkan kajian-kajian sehingga 31 Ogos 2016; sebarang kajian yang diterbitkan selepas tarikh tersebut tidak dimasukkan di dalam ulasan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Raymond Chieng Siang Ching (Klinik Kesihatan Nanga Wak). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi raymondchieng@gmail.com

Tools
Information
Share/Save