Tempoh infusi yang berbeza bagi mencegah kehilangan pendengaran akibat platinum dikalangan kanak-kanak penghidap kanser

Soalan ulasan

Kami menkaji bukti-bukti adakah jangkamasa infusi kemoterapi berasaskan platinum yang berlaianan dapat mencegah kehilangan pendengaran atau tinitus, atau kedua-duanya, dalam kanak-kanak penghidap kanser. Kami juga melihat keberkesanan rawatan ini sebagai anti tumor, kesan-kesan buruk selain daripada kehilangan pendengaran dan juga kualiti hidup pesakit.

Latar belakang

Kemoterapi berasaskan platinum, termasuk cisplatin, carboplatin dan oxaliplatin, ataupun gabungan ubat-ubat ini, digunakan untuk merawat pelbagai jenis kanser dikalangan kanak-kanak. Malangnya, salah satu kesan buruk penting bagi kemoterapi berasaskan platinum ini adalah kehilangan pendengaran. Ini boleh terjadi bukan sahaja semasa tempoh rawatan tetapi juga bertahun-tahun setelah rawatan tamat. Walaupun ianya tidak mengancam nyawa, tetapi kehilangan pendengaran, terutamanya dalam masa tiga tahun pertama kehidupan, mungkin membawa kepada kesukaran dengan prestasi di sekolah dan fungsi psikososial. Oleh itu, pencegahan kehilangan pendengaran yang berpunca daripada platinum adalah sangat penting dan mungkin boleh meningkatkan kualiti hidup kanak-kanak yang menjalani rawatan kanser dan mereka yang sembuh dengan rawatan kemoterapi berasaskan platinum.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga November 2019.

Kami menemui satu kajian yang melibatkan seramai (91 peserta) yang membandingkan antara infusi berterusan cisplatin dengan infusi bolus cisplatin satu jam dikalangan kanak-kanak penghidap neuroblastoma. Untuk infusi berterusan, cisplatin diberi pada hari pertama hingga hari ke lima dalam satu kitaran rawatan tetapi tidak jelas adakah tempoh infusi sebenarnya berjumlah lima hari. Hanya keputusan selepas terapi induksi sahaja yang ada.

Keputusan utama

Pada masa ini tiada bukti menunjukkan penggunaan tempoh infusi cisplatin yang berbeza dapat menghalang kehilangan pendengaran ataupun menjejaskan respon tumor dan kesan-kesan buruk yang dialami. Tidak ada data bagi hasil-hasil lain yang diperlukan seperti (iaitu tinitus, peratusan yang masih hidup, peratusan yang hidup tanpa mengalami masalah yang serius dan kualiti kehidupan) ataupun data untuk terapi (gabungan) bagi tempoh infusi yang lain ataupun data bagi analog-analog platinum yang lain. Kami memerlukan lebih banyak penyelidikan berkualiti tinggi sebelum dapat membuat kesimpulan tentang keberkesanan tempoh infusi platinum yang berbeza untuk mencegah kehilangan pendengaran dikalangan kanak-kanak penghidap kanser.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information