Oxandrolone untuk gadis-gadis dirawat dengan hormon pertumbuhan yang berumur sehingga 18 tahun dengan sindrom Turner

Soalan ulasan

Apakah kesan-kesan memberikan oxandrolone kepada gadis-gadis dirawat hormon pertumbuhan yang berumur sehingga 18 tahun dengan sindrom Turner?

Latar belakang

Sindrom Turner adalah penyakit genetik gadis-gadis dengan anomali kromosom yang mana semua atau sebahagian daripada salah satu daripada dua kromosom X hilang atau berubah. Sindrom Turner menunjukkan pelbagai tanda dan gejala, antaranya ialah perawakan pendek. Kegagalan tumbesaran pada zaman kanak-kanak membawa kepada ketinggian akhir dewasa yang pendek menyumbang kepada kemerosotan sosial dan emosi. Tanpa rawatan, gadis-gadis dengan sindrom Turner adalah kira-kira 20 cm lebih pendek daripada remaja-remaja yang sihat. Rawatan gadis-gadis dengan sindrom Turner dengan hormon pertumbuhan meningkatkan ketinggian dewasa. Kami ingin mengenalpasti jika penambahan oxandrolone akan meningkatkan ketinggian akhir dewasa dan kesan-kesan kombinasi ini kepada gejala-gejala lain. Oxandrolone adalah satu androgen. Androgen adalah hormon seks lelaki yang penting dan penting untuk perempuan juga.

Ciri-ciri kajian

Kami melibatkan enam kajian rawak terkawal (kajian-kajian klinikal yang mana mereka dimasukkan secara rawak ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan). Tempoh rawatan-rawatan tersebut berjulat antara 3 dan 7.6 tahun. Pengarang-pengarang kajian memperuntukkan 498 peserta kepada kumpulan rawatan, 267 peserta kepada rawatan oxandrolone bersama hormon pertumbuhan dan 231 peserta kepada rawatan hormon pertumbuhan sahaja. Purata umur gadis-gadis tersebut pada permulaan rawatan adalah berjulat daripada 9 hingga 12 tahun.

Bukti ini adalah terkini sehingga Oktober 2018.

Keputusan-keputusan utama

Apabila membandingkan oxandrolone bersama hormon pertumbuhan kepada hormon pertumbuhan sahaja, ketinggian akhir dewasa adalah pada purata 2.7 cm lebih tinggi dengan memihak kepada terapi oxandrolone bersama hormon pertumbuhan. Hanya dua kajian yang menyediakan data yang boleh dipercayai tentang kesan-kesan sampingan: 6 daripada 86 (19%) peserta diberi oxandrolone bersama hormon pertumbuhan berbanding 8 daripada 84 (10%) peserta diberi hormon pertumbuhan hanya melaporkan kesan-kesan sampingan, terutamanya tanda-tanda perkembangan ciri-ciri fizikal lelaki (misalnya suara menjadi garau). Satu kajian telah menyiasat kesan-kesan rawatan terhadap pertuturan, proses memperoleh pengetahuan dan kefahaman (kognitif), dan status mental dan emosi (psikologi). Keputusan keseluruhan untuk ini adalah tidak muktamad. Tiada kajian yang mengukur tahap kepuasan mereka dengan kehidupan dan kesihatan atau kematian daripada sebarang sebab.

Kualiti bukti

Untuk kesan-kesan sampingan dan kesan-kesan ke atas status pertuturan, kognitif dan psikologikal, kami tidak pasti atau sangat tidak pasti, terutamanya kerana bilangan kajian dan peserta adalah sedikit dan keputusan-keputusan adalah tidak jelas. Untuk ketinggian akhir dewasa, kami berpendapat bahawa penyelidikan lebih lanjut berkemungkinan untuk mempunyai impak yang penting terhadap keyakinan kami dalam keputusan-keputusan dan mungkin akan mengubah keputusan-keputusan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nor Faezah Binti Zainudin (RCSI & UCD Malaysia Campus (sebelum ini dikenali sebagai Penang Medical College)). Disunting oleh Fairuz Fadzilah Rahim (RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi faezah@ms.pmc.edu.my

Tools
Information