Perencat leukotriene untuk bronkiolitis dalam kalangan bayi dan kanak-kanak muda

Soalan ulasan
Kami mengulas bukti tentang kesan perencat leukotriene atas hasil klinikal dalam bayi dan kanak-kanak muda dengan bronkiolitis.

Latar belakang
Satu daripada penyakit respiratori yang biasanya dialami oleh bayi adalah bronkiolitis, keradangan saluran pernafasan kecil di dalam paru-paru. Bronkiolitis boleh disebabkan oleh virus seperti respiratory syncytial virus atau influenza. Simptom termasuk selsema, bunyi berdehit, batuk dan bersin. Ia dikaitkan dengan morbiditi besar dan boleh membawa kepada kemasukan hospital. Perencat leukotriene sepatutnya mengurangkan keradangan saluran pernafasan, yang bermakna bahawa mereka boleh membantu mengurangkan keradangan saluran pernafasan berkaitan dengan bronkiolitis. Kami mengulas bukti daripada kajian rawak untuk melihat sama ada penggunaa perencat leukotriene adalah lebih bagus daripada plasebo dalam kanak-kanak kurang daripada dua tahun dengan bronkiolitis.

Ciri-ciri Kajian
Bukti adalah terkini sehingga Mei 2014. Kami mengenalpasti lima kajian rawak terkawal (1296 peserta bawah umur dua tahun) yang membandingkan montelukast (satu perencat leukotriene) dengan plasebo dalam bayi dan kanak-kanak muda yang dimasukkan ke hospital dengan bronkiolitis.

Keputusan utama
Hasil utama kami adalah tempoh tinggal di hospital dan mortaliti semua sebab. Hasil sekunder termasuk skor keterukan klinikal, peratus hari tiada simptom, peratus kanak-kanak memerlukan ventilasi, bunyi berdehit berulangan, saturasi oksigen, kadar pernafasan dan kesan sampingan klinikal.

Kesan montelukast atas tempoh tinggal di hospital dan skor keterukan klinikal adalah tidak pasti akibat heterogenitas (perbezaan) antara keputusan kajian dan jarak keyakinan luas sekitar kesan yang dianggar. Data berkenaan hari tanpa simptom dan kejadian bunyi berdehit berulang adalah daripada kajian tunggal sahaja dan analisi individu kajian-kajian tersebut tidak menunjukkan perbezaan antara kumpulan intervensi dan kumpulan kawalan. Satu kajian atas 952 kanak-kanak melaporkan dua kematian dalam kumpulan perencat leukotriene: kedua-dua tidak dikenalpasti sebagai berkaitan dengan ubat. Tiada data wujud tentang peratus kanak-kanak yang memerlukan ventilasi, saturasi oksigen dan kadar pernafasan. Akhirnya, tiga kajian melaporkan kejadian sampingan termasuk cirit-birit, bunyi berdehit tidak lama selepas pemberian dan ruam. Tiada perbezaan dilaporkan antara kumpulan kajian.

Kualiti bukti
Kami menilai kualiti bukti untuk tempoh tinggal di hospital dan skor keterukan klinikal sebagai rendah akibat ketidaktetapan dan ketidaktepatan disebabkan oleh saiz sampel kecil dan jarak keyakinan luas, yang tidak mengecualikan tiada kesan atau bahaya. Secara keseluruhannya, bukti pada masa ini tidak mengizinkan kesimpulan muktamad dibuat mengenai kesan dan keselamatan perencat leukotriene dalam bayi dan kanak-kanak dengan bronkiolitis.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khoo Jing Hern (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com.

Tools
Information