Metformin untuk wanita dengan obesiti atau berlebihan berat badan semasa hamil untuk memperbaik kesihatan wanita dan bayi mereka

Apakah isunya?

Kami menyiasat sama ada metformin berperanan dalam memperbaik hasil kesihatan untuk wanita hamil dengan obesiti atau yang berlebihan berat badan, dan bayi mereka. Kami mempertimbangkan manfaat yang mungkin, kesan buruk dan kos sistem penjagaan kesihatan.

Indeks jisim badan (BMI), dikira dari ketinggian dan berat badan seseorang, digunakan untuk mengklasifikasikan sebagai berat badan normal (BMI kurang dari 25 kg/m2), berat badan berlebihan (BMI 24.9 kg/m2 hingga 30 kg/m2) atau obesiti (BMI melebihi 30 kg/m2). Wanita dengan obesiti atau berlebihan berat badan adalah lebih mungkin daripada wanita dengan berat badan normal untuk mengalami komplikasi seperti tekanan darah tinggi dan diabetes gestasi semasa hamil. Mereka juga berisiko memerlukan pembedahan caesarean atau mendapat jangkitan selepas bersalin. Bayi mereka lebih cenderung mengalami masalah kesihatan, memerlukan kemasukan ke unit neonatal atau rawatan intensif, mempunyai gula darah yang rendah, atau masalah bernafas sejurus selepas lahir.

Wanita dengan obesiti atau berlebihan berat badan mungkin mempunyai beberapa ciri-ciri diabetes yang boleh menyumbang kepada masalah semasa hamil dan kelahiran. Mereka mungkin tidak memproses karbohidrat dan gula diet dengan cekap, dan lebih resistan terhadap hormon insulin, yang dikeluarkan oleh pankreas selepas makan, membantu otot menggunakan glukosa darah (gula) untuk tenaga. Glukosa beredar dalam darah lebih lama, memberikan tenaga yang berlebihan kepada tumbesaran bayi. Terdapat peningkatan risiko diabetis semasa hamil dan wanita mungkin mempunyai tahap hormon inflamatori dan protein rendah yang beredar di dalam badan. Memperbaiki diet dan meningkatkan senaman mempunyai kesan yang sangat kecil untuk mengurangkan berat badan semasa hamil dan tiada kesan kepada komplikasi.

Metformin, ubat yang digunakan untuk merawat diabetis, mengurangkan amaun glukosa yang dilepaskan oleh hati ke dalam darah dan menjadikan tubuh lebih sensitif terhadap insulin. Metformin boleh membantu badan wanita menggunakan insulin dengan lebih berkesan dan mengurangkan kemungkinan tumbesaran bayi bagi usia gestasi.

Apakah bukti yang kami perolehi?

Kami mencari bukti (Oktober 2017) dan mendapati tiga kajian rawak terkawal (1099 wanita hamil) membandingkan tablet metformin dengan tablet plasebo yang diambil secara oral dari 10 hingga 20 minggu kehamilan sehingga bersalin. Kajian melibatkan wanita dengan obesiti; oleh itu, kami tidak dapat menilai kesan metformin bagi wanita yang berlebihan berat badan.

Wanita yang diberi metformin atau plasebo semasa hamil mempunyai risiko yang sama seperti bayi yang dilahirkan pada usia gestasi bayi yang besar (diukur dalam minggu sejak tempoh akhir haid). Metformin mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan dalam risiko wanita yang mengalami diabetes gestasi. Metformin juga mungkin mempunyai sedikit atau tiada perbezaan dalam risiko wanita yang mengalami hipertensi gestasi (tekanan darah tinggi) atau pra-eklampsia.

Wanita yang diberi metformin mungkin dapat mengurangkan sedikit berat badan semasa hamil, tetapi lebih cenderung mengalami cirit-birit. Tiada perbezaan penting lain yang dikenal pasti untuk hasil ibu yang lain termasuk, kelahiran caesaran, melahirkan sebelum 37 minggu kehamilan, distosia bahu (komplikasi kelahiran di mana bahu bayi tersangkut), trauma perineal (kerosakan pada kawasan antara vagina wanita dan dubur), atau perdarahan berat selepas bayi dilahirkan.

Bayi wanita yang diberi metformin mempunyai berat badan yang sama dengan bayi wanita yang diberi plasebo. Kami tidak mengenal pasti sebarang perbezaan penting lain untuk kepentingan bayi yang lain: hipoglisemia (gula darah rendah); hiperbilirubinaemia (jaundis); skor Apgar pada lima minit (ukuran kesejahteraan bayi baru lahir); atau kematian bayi sebelum atau selepas dilahirkan. Satu kajian melaporkan kadar kemasukan yang serupa ke penjagaan intensif neonatal di antara kumpulan-kumpulan.

Apakah maksudnya

Tiada bukti yang cukup untuk menyokong penggunaan metformin bagi wanita dengan obesiti semasa hamil untuk memperbaiki hasil ibu dan bayinya. Metform dikaitkan dengan peningkatan risiko kesan buruk, terutamanya cirit-birit.

Bilangan kecil kajian yang dimasukkan ke dalam ulasan ini dan tiada kajian yang memasukkan wanita yang dikategorikan sebagai 'berat badan berlebihan', atau kajian yang melihat metformin dalam kombinasi dengan rawatan lain.

Kajian lebih lanjut diperlukan untuk menilai peranan metformin dalam kalangan wanita hamil dengan obesiti atau berlebihan berat badan, sebagai strategi untuk memperbaiki kesihatan ibu dan bayi, sama ada bersendirian atau sebagai intervensi tambahan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information