Pelapik kaviti gigi di bawah tampalan resin sewarna gigi yang diletak pada gigi kekal di bahagian belakang mulut.

Soalan ulasan

Ulasan ini dibuat untuk menilai kesan penggunaan pelapik di bawah tampalan resin sewarna gigi dalam kaviti yang melibatkan permukaan kunyah (Kelas I) dan permukaan kunyah serta permukaan sisi (Kelas II) gigi kekal di bahagian belakang mulut dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa.

Latar belakang

Kerosakan gigi adalah penyakit yang paling lazim melibatkan kanak-kanak dan orang dewasa di serata dunia. Jika dibiarkan tidak dirawat, asid yang dihasilkan oleh bakteria di dalam plak atau biofilem membentuk kaviti atau lubang pada gigi. Beberapa teknik dan pelbagai bahan boleh diguna untuk merestorasi atau menampal gigi yang rosak. Salah satunya adalah bahan komposit sewarna gigi berasaskan resin atau RBC. Bahan ini semakin banyak diguna sebagai alternatif kepada amalgam (campuran merkuri dengan partikel aloi logam)

Sejak kurun ke19, pelapik kaviti sering diletakkan dalam kaviti gigi di bawah bahan tampalan. Pelapik kaviti dianggap dapat melindungi pulpa gigi yang hidup daripada bahan tampalan dan mengawal haba atau sejuk berbanding gigi asli. Walaupun bahan tampalan RBC dianggap serupa dengan bahan asli gigi dalam aspek aliran haba, sensitiviti kepada perubahan suhu masih menjadi isu selepas rawatan.

Ciri-ciri kajian

Bukti ulasan yang dibuat oleh Kesihatan Oral Cochrane ini adalah terkini sehingga 12 November 2018.

Lapan kajian melibatkan 700 peserta telah dimasukkan. Dua kajian dijalankan di AS, dua di Thailand, dua di Jerman dan setiap satu di Arab Saudi dan Turki. Kajian-kajian tersebut membandingkan penggunaan pelapik di bawah tampalan resin komposit (RBC) pada gigi kekal di bahagian belakang mulut dengan tanpa penggunaan pelapik untuk tampalan Kelas I dan Kelas II. Satu di antara dua kajian di AS berlangsung di klinik pergigian dan selainnya bertempat di klinik pergigian di universiti. Semua peserta berumur 15 tahun ke atas.

Keputusan-keputusan utama

Terdapat sangat sedikit bukti untuk menunjukkan pelapik di bawah tampalan RBC Kelas I dan II pada gigi kekal di bahagian belakang mulut dapat mengurangkan sensitiviti dalam kalangan dewasa atau remaja 15 tahun ke atas. Tiada bukti untuk menunjukkan sebarang perbezaan jangkamasa tampalan dapat bertahan sama ada diletak pelapik atau tanpa pelapik kaviti. Tiada peristiwa buruk dilaporkan dalam mana-mana kajian yang disertakan.

Kualiti bukti

Bukti dari ulasan ini tidak membolehkan rumusan pasti tentang kesan pelapik kaviti gigi. Kualiti bukti yang dikenalpasti dari ulasan ini adalah rendah dan anggaran kesannya tidak meyakinkan. Tambahan pula, tiada bukti untuk menunjukkan berapa lama restorasi dapat bertahan apabila dibuat dengan pelapik atau tanpa pelapik kaviti.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan tentang terjemahan ini, sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information
Share/Save