Insisi berlainan saiz untuk pembedahan katarak pada orang dengan katarak berkaitan dengan usia

Tujuan Ulasan
Tujuan ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada saiz insisi (dipotong pada mata) semasa pembedahan katarak menyebabkan perbezaan dalam hasil pembedahan katarak. Penyelidik mendapati terdapat 26 kajian yang menjawab soalan ini.

Mesej utama
Beberapa, tetapi tidak semua, teknik pembedahan yang menggunakan insisi yang lebih kecil dikaitkan dengan kurang astigmatisme; Akan tetapi, perbezaannya adalah kecil dan bukti tidak dapat dipastikan. Terdapat sedikit bukti untuk mencadangkan sebarang kesan penting terhadap penglihatan. Terdapat data terhad mengenai kesan sampingan dan tiada bukti mengenai kesan insisi berlainan saiz keatas kualiti hidup.

Apa yang telah dikaji dalam ulasan ini?
Apabila orang menjadi semakinberusia, kanta mata yang jelas boleh menjadi berkelabu, yang dikenali sebagai katarak. Satu pembedahan boleh dilakukan untuk mengeluarkan katarak dan menggantikan kanta mata berkelabu dengan kanta mata tiruan yang jelas. Pembedahan ini selamat dan mengembalikan penglihatan dalam hampir semua kes. Katarak berkaitan dengan usia adalah salah satu sebab utama buta di seluruh dunia.

Satu masalah yang boleh berlaku selepas pembedahan katarak adalah kerana pembedahan di depan mata tidak lagi menjadi bentuk sempurna yang melengkung. Ini boleh menyebabkan penglihatan yang kabur atau terganggu dan dikenali sebagai astigmatisme. Masalah penglihatan yang timbul dari astigmatisme boleh diperbetulkan dengan cermin mata. Ia selalunya dipercayai bahawa pemotongan atau insisi yang lebih kecil dilakukan semasa pembedahan katarak, mengurangkan kemungkinan astigmatisme.

Hasil utama
Penyelidik mencari kajian yang membandingkan insisi bersaiz berlainan untuk pembedahan katarak pada orang dengan katarak yang berkaitan dengan usia. Ulasan ini merangkumi 26 kajian dari Eropah dan Asia.

Penyelidik mendapati keputusan berikut.

• Sesetengah, tetapi tidak semua, teknik pembedahan menggunakan insisi yang lebih kecil dikaitkan dengan kurang astigmatisme, namun perbezaannya adalah kecil dan bukti adalah tidak pasti (kepastian bukti yang rendah dan sangat rendah).
• Secara umumnya, terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam ketajaman penglihatan berdasarkan sama ada insisi yang lebih kecil atau lebih besar dibuat (kepastian bukti yang rendah).
• Tiada kesan yang konsisten terhadap tanda-tanda lain seperti ketebalan kornea (depan mata) dan bilangan sel di hadapan mata (kepastian bukti yang rendah dan sangat rendah).
Kesan sampingan adalah tidak dilaporkan oleh kebanyakan kajian yang dimasukkan.
• Tiada kajian yang dilaporkan mengenai kualiti hidup para peserta.

Adakah ulasan ini terkini?
Penyelidik mencari kajian yang diterbitkan sehingga 28 Oktober 2016.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information
Share/Save