Sasaran tekanan darah dalam orang yang mempunyai penyakit kardiovaskular

Soalan ulasan

Penyelidik menilai sama ada matlamat tekanan darah yang lebih rendah adalah lebih baik daripada matlamat tekanan darah piawaian bagi orang yang mempunyai tekanan darah tinggi yang juga mempunyai masalah jantung atau vaskular.

Latar belakang

Ramai orang yang mengalami masalah jantung atau vaskular juga mempunyai tekanan darah tinggi. Sesetengah garis panduan klinikal mencadangkan matlamat tekanan darah yang lebih rendah (135/85 mmHg atau lebih rendah) pada orang dengan masalah jantung atau vaskular berbanding dengan yang tiada (≤140 hingga 160 mmHg sistolik dan ≤ 90 hingga 100 mmHg diastolik adalah matlamat tekanan darah piawaian). Tidak jelas jika matlamat yang lebih rendah membawa kepada manfaat kesihatan secara keseluruhannya.

Tarikh carian

Penyelidik mencari bukti sehingga Februari 2018.

Ciri-ciri kajian

Untuk ulasan kemas kini ini, penyelidik melibatkan enam kajian dengan 9484 peserta yang diikuti selama antara setahun hingga 4.7 tahun. Penyelidik menganalisa data untuk mengesan perbezaan antara matlamat tekanan darah rendah dan standard dalam jumlah kematian dan kesan sampingan yang serius (yang membawa kepada kemasukan ke hospital).

Keputusan utama

Penyelidik mendapati tiada perbezaan dalam jumlah kematian, kematian berpunca jantung atau vaskular atau kemudaratan serius antara pendekatan sasaran tekanan darah yang lebih rendah dan standard. Berdasarkan maklumat yang sangat sedikit, penyelidik mendapati lebih banyak keciciran akibat kemudaratan yang berkaitan dengan ubat dalam kumpulan sasaran tekanan darah yang lebih rendah dan tiada manfaat kesihatan secara keseluruhan di kalangan orang dalam kumpulan sasaran yang lebih rendah.

Kualiti bukti

Bukti terbaik yang tersedia tidak menyokong matlamat tekanan darah yang lebih rendah berbanding dengan matlamat standard pada orang dengan tekanan darah tinggi dan masalah jantung atau vaskular. Lebih banyak kajian baru diperlukan untuk menjawab soalan ini. Keseluruhannya, bukti kualiti dinilai rendah hingga sederhana menurut penilaian GRADE.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save