Perencat aromatase (letrozole) untuk rawatan subfertiliti bagi wanita dengan sindrom ovari polisistik (PCOS)

Soalan ulasan: Para penulis Cochrane telah memeriksa bukti tentang perencat aromatasae (AIs) untuk wanita yang mengalami masalah kesuburan (subfertiliti) dengan sindrom ovari polisistik (PCOS).

Latar belakang: PCOS merupakan sebab utama jarang atau tiada haid, dan dialami oleh 4% hingga 8% wanita sedunia. Ia kerap menyebabkan masalah kesuburan tanpa ovulasi (subfertiliti berkaitan dengan kegagalan untuk berovulasi). AIs digunakan untuk menghasilkan ovulasi. Sejak tahun 2001, kajian-kajian klinikal telah memberikan kesimpulan yang berbeza sama ada AI letrozole adalah sama berkesan untuk merawat subfertiliti dengan kaedah rawatan paling biasa digunakan, clomiphene citrate (CC).

Ciri-ciri kajian: Ulasan ini melibatkan kajian-kajian kilinikal di mana peserta telah dibahagikan secara rawak kepada kumpulan intervensi atau kumpulan perbandingan (kajian terkawal rawak, RCTs). Ulasan kami melibatkan 42 RCTs dengan 7935 wanita. Dalam semua kajian, perencat aromatase yang digunakan adalah letrozole. Ajen pembanding termasuklah CC, yang digunakan dalam 25 daripada RCTs, dan penggerudian ovari laparoskopik (teknik pembedahan untuk menusuk membran keliling ovari) yang digunakan dalam lima RCTs. Beberapa kajian melibatkan rawatan yang lain dalam satu atau kedua-dua kumpulan.

Keputusan-keputusan utama: Letrozole berkemungkinan meningkatkan kadar kelahiran hidup dan kadar kehamilan berbanding CC apabila digunakan untuk mengalakkan ovulasi dan persetubuhan secara berjadual. Kualiti bukti ini adalah sederhana dan kelihatan boleh dipercayai. Didapati tiada perbezaan antara kadar keguguran atau kadar kehamilan kembar. Didapati tiada perbezaan antara letrozole atau penggerudian ovari laparoskopik bagi apa-apa hasil yang diperhatikan, walaupun wujudnya beberapa kajian yang relevan. Sindrom ovari terlebih rangsangan (OHSS), adalah kesan buruk rangsangan hormon yang serius, merupakan peristiwa yang sangat jarang berlaku dan tidak berlaku dalam kebanyakan kajian. Bukti adalah terkini sehingga Januari 2018.

Kualiti bukti: Kualiti bukti keseluruhan adalah berkisar dari sederhana hingga tinggi. Beberapa kajian yang lebih memihak kepada clomiphene citrate berkemungkinan tidak pernah diterbitkan. Didapati kajian yang melaporkan kelahiran hidup melaporkan kadar kehamilan klinikal yang lebih tinggi dalam kumpulan letrozole berbanding kajian yang gagal untuk melaporkan kelahiran hidup. Ini mencadangkan bahawa keputusan tersebut berkemungkinan tidak memihak kepada letrozole jika semua kajian melaporkan kelahiran hidup.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Denise Chai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi denisechai@ms.pmc.edu.my

Tools
Information
Share/Save