Program perancangan keluarga untuk wanita dengan HIV

Latar belakang

Perkhidmatan perancangan keluarga dapat membantu wanita dengan HIV menggunakan kawalan kelahiran dan mencegah kehamilan yang tidak diingini. Orang dengan HIV hidup lebih lama kerana rawatan yang lebih baik. Lebih ramai wanita HIV-positif akan memilih sama ada untuk mendapat anak dan bila.

Kaedah

Kami menjalankan carian maklumat berkomputer untuk kajian-kajian tentang program perancangan keluarga (FP) bagi wanita HIV-positif sehingga 2 Ogos 2016. Perkhidmatan ini boleh dibandingkan dengan program yang berbeza, penjagaan biasa, atau tiada kaunseling. Kajian-kajian juga boleh membandingkan wanita HIV-positif dan HIV-negatif. Kami cuba mencari keputusan yang terlaras untuk faktor-faktor yang mempengaruhi hasil-hasil. Jika tiada, kami menggunakan data yang tidak terlaras. Kami menilai kualiti penyelidikan.

Keputusan

Kami memasukkan tiga kajian baharu menjadikan sejumlah 10 kajian. Kajian-kajian ini adalah dari tujuh negara Afrika dengan 16,116 peserta. Tiga kajian membandingkan program FP yang dipertingkat berbanding penjagaan biasa, tiga kajian melihat perkhidmatan FP digabung dengan penjagaan HIV, dan empat kajian membandingkan wanita HIV-positif dengan wanita HIV-negatif

Untuk empat kajian berkualiti baik, program khas ini dikaitkan dengan penggunaan kawalan kelahiran atau kehamilan. Di Nigeria, perkhidmatan FP dan HIV digabungkan. Wanita dengan perkhidmatan FP yang dipertingkat menggunakan kawalan kelahiran moden lebih kerap daripada wanita dengan perkhidmatan FP asas. Satu kajian di Kenya membandingkan gabungan FP dengan penjagaan HIV berbanding rujukan ke klinik FP yang berasingan. Wanita dengan perkhidmatan gabungan menggunakan kawalan kelahiran lebih berkesan berbanding dengan yang dirujuk ke tempat lain untuk FP. Satu kajian di Kenya, Namibia, dan Tanzania menguji pencegahan HIV dan program FP. Wanita dengan program khas di Tanzania lebih kerap menggunakan kawalan kelahiran yang berkesan berbandiing wanita dengan penjagaan biasa. Juga, mereka lebih cenderung melaporkan penggunaan kondom semasa seks. Secara keseluruhan, wanita dengan program pencegahan kurang cenderung melakukan seks yang tidak dilindungi dalam dua minggu yang lalu. Satu kajian dari Côte d'Ivoire menggabungkan ujian HIV dengan perkhidmatan FP. Kadar kehamilan adalah sama untuk wanita HIV-positif dan HIV-negatif, tetapi wanita HIV-positif mempunyai kurang kehamilan yang tidak diingini.

Kesimpulan penulis

Kajian sejak tahun 2009 adalah lebih berkualiti berbanding tahun 1990-an. Latihan untuk FP dan kaunseling adalah lebih lazim, boleh mengukuhkan perkhidmatan FP. Penyelidikan masih terhad bagi kaunseling kawalan kelahiran untuk wanita HIV-positif. Kaedah kaunseling yang lebih baik akan membantu wanita memilih dan menggunakan kaedah kawalan kelahiran. Keperluan ini adalah tinggi terutama di kawasan kurang sumber, seperti klinik HIV.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Nor Zairina Zainal (Institut Perubatan & Pergigian Termaju, USM Penang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi zairina@usm.my

Tools
Information