Rawatan epilepsi pada wanita hamil dan kesihatan fizikal kanak-kanak

Terjemahan ini tidak dikemas kini. Sila klik di sini untuk melihat versi Bahasa Inggeris terbaru Ulasan.

Latar belakang

Bagi kebanyakan wanita yang menghidap epilepsi, meneruskan pengambilan ubat semasa mengandung adalah penting untuk kesihatan mereka. Sepanjang 25 tahun yang lalu, penyelidikan telah menunjukkan bahawa kanak-kanak yang terdedah kepada ubat-ubatan ini dalam kandungan boleh berisiko lebih tinggi untuk mengalami kecacatan atau kecacatan kelahiran.

Soalan penyelidikan

Ulasan ini bertujuan untuk memahami sama ada pendedahan kepada ubat antiepileptik (AED) semasa kehamilan dikaitkan dengan peningkatan risiko mempunyai anak yang mengalami kecacatan.

Ciri-ciri kajian

Ulasan memasukkan 50 kajian yang berkaitan. Kami membandingkan kanak-kanak wanita dengan epilepsi yang mengambil satu AED dengan kanak-kanak wanita tanpa epilepsi atau wanita yang mengalami epilepsi tetapi yang tidak merawatnya dengan AED. Perbandingan juga dibuat antara anak-anak yang terdedah kepada pelbagai AED dalam rahim. Bukti yang dikemukakan dalam ulasan ini adalah terkini hingga Mei 2015.

Keputusan

Jumlah data dari kajian yang disemak sangat berbeza-beza oleh AED yang sedang disiasat, dan ini boleh menyumbang kepada beberapa penemuan.

- Kanak-kanak yang terdedah kepada valproate berbanding AED lain mempunyai tahap risiko kecacatan tertinggi pada 10.93%. Kanak-kanak yang terdedah kepada valproate mempunyai tahap risiko yang lebih tinggi daripada kedua-dua kumpulan kanak-kanak kawalan dan daripada kanak-kanak yang terdedah kepada carbamazepine, gabapentin, levetiracetam, lamotrigine, oxcarbazepine, phenobarbital, phenytoin, topiramate dan zonisamide. Tahap risiko mengalami kecacatan dikaitkan dengan jumlah atau dos valproate yang terdedah kepada kanak-kanak di dalam rahim.

- Kanak-kanak yang terdedah kepada carbamazepine mempunyai risiko kecacatan yang lebih tinggi daripada kedua-dua kumpulan kanak-kanak kawalan dan kanak-kanak yang terdedah kepada levetiracetam dan lamotrigine.

- Kanak-kanak yang terdedah kepada phenobarbital mempunyai risiko kecacatan yang lebih tinggi daripada kanak-kanak yang dilahirkan oleh wanita tanpa epilepsi tetapi bukan mereka yang dilahirkan oleh wanita dengan epilepsi yang tidak dirawat. Mereka juga mempunyai risiko kecacatan yang lebih tinggi daripada kanak-kanak yang terdedah kepada gabapentin, levetiracetam atau lamotrigine.

- Kanak-kanak yang terdedah kepada phenytoin mengalami peningkatan risiko kecacatan berbanding kedua-dua kumpulan kanak-kanak kawalan dan kanak-kanak yang terdedah kepada levetiracetam dan lamotrigine.; walaupun hasil perbandingan dengan levetriacetam kurang jelas.

- Kanak-kanak yang terdedah kepada topiramate mempunyai risiko kecacatan yang lebih tinggi daripada kanak-kanak yang dilahirkan oleh wanita tanpa epilepsi tetapi bukan mereka yang dilahirkan oleh wanita dengan epilepsi yang tidak dirawat. Mereka menghadapi risiko kecacatan yang lebih tinggi berbanding kanak-kanak yang terdedah kepada levetiracetam atau lamotrigine.

- Tiada perbezaan ketara lain antara AED, atau perbandingan terhad kepada satu kajian.

- Kami juga mendapati kadar yang lebih tinggi bagi jenis kecacatan tertentu, terutamanya mengaitkan pendedahan phenobarbital dengan kecacatan jantung dan pendedahan valproat dengan julat jenis kecacatan tertentu yang menjejaskan beberapa bahagian badan yang berbeza.

Kualiti kajian

Kualiti cara kajian direka berbeza-beza, tetapi kami tidak menganggap bahawa ini menyumbang kepada hasil ulasan.

Kesimpulan

Ulasan ini mendapati bahawa kanak-kanak yang terdedah kepada valproate dalam kandungan mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami kecacatan semasa lahir dan tahap risiko ditentukan oleh dos valproate yang terdedah kepada kanak-kanak itu. Berdasarkan bukti semasa, levetiracetam dan lamotrigine nampaknya AED yang dikaitkan dengan tahap risiko paling rendah, tetapi lebih banyak data diperlukan, terutamanya mengenai jenis kecacatan individu.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my