Apa yang paling berkesan untuk memelihara tulang rahang selepas cabutan gigi?

Mengapa soalan ini penting?

Cabutan gigi adalah prosedur lazim yang boleh diguna untuk:

- membuang gigi yang rosak atau berpenyakit;
- membuang gigi yang berada di tempat yang salah; atau
- memberi ruang untuk gigi lain.

Selepas cabutan gigi, bahagian tulang rahang yang memegang gigi akan mengecut kerana ia tidak lagi diperlukan untuk menyokong gigi. Jika tulang mengecut terlalu banyak, ini boleh:

- menyukarkan atau mustahil untuk mengganti gigi yang hilang dengan yang tiruan (implan); dan
- melemahkan sokongan dan kesihatan gigi bersebelahan.

Untuk menghadkan kehilangan tulang selepas cabutan gigi, doktor gigi atau pakar bedah boleh membuat prosedur yang disebut pemuliharaan batas alveolar (ARP). ARP melibatkan pengisian lubang yang ditinggalkan oleh gigi yang hilang (menggunakan pelbagai bahan dan teknik), dan membiarkannya sembuh selama beberapa bulan. Lubang boleh diisi dengan tulang manusia, haiwan, atau tulang buatan. Ia boleh ditutup (untuk menghentikan gusi tumbuh ke dalam lubang) menggunakan:

- bahan yang setelah beberapa lama, diserap oleh badan secara semula jadi; atau
- bahan yang perlu dikeluarkan dengan pembedahan setelah tidak diperlukan lagi.

Untuk mengetahui jika ARP berfungsi untuk memulihara tulang rahang selepas cabutan gigi, kami mengulas bukti dari kajian-kajian penyelidikan. Kami juga ingin tahu jika ada bahan dan teknik ARP yang lebih baik daripada yang lain.

Bagaimana kami mengenalpasti dan menilai bukti?

Pertama, kami mencari literatur perubatan untuk kajian-kajian yang membandingkan:

- ARP dengan tanpa ARP; atau
- bahan atau teknik ARP yang berbeza.

Kami kemudiannya membandingkan keputusan dan meringkaskan bukti dari semua kajian. Akhirnya, kami menilai keyakinan bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan ukuran kajian, dan keseragaman penemuan merentasi kajian-kajian.

Apa yang kami temui?

Kami menemui 16 kajian yang menyusuli sejumlah 426 orang dewasa selama sekurang-kurangnya enam bulan. Kajian-kajian berlangsung dii Amerika Utara, Amerika Selatan, Eropah, dan Asia. Empat kajian disokong oleh syarikat farmaseutikal dan peranti perubatan. Kajian-kajian lain sama ada mendapat dana awam, tiada pendanaan khusus, atau tidak melaporkan sumber pembiayaan.

ARP berbanding tanpa ARP

Lapan kajian membandingkan ARP dengan tanpa ARP. Dalam tujuh kajian, tulang haiwan diguna untuk mengisi lubang yang ditinggalkan oleh gigi yang hilang. Dalam satu kajian, lubang dipenuhi dengan tulang buatan.

Kehilangan tulang: bukti dari kajian-kajian mencadangkan ARP dapat mencegah kehilangan tulang setelah cabutan gigi. Walau bagaimanapun, kami tidak yakin tentang penemuan ini. Ini kerana kajian-kajian melaporkan penemuan yang bercanggahan dan tidak melaporkan kaedah dengan jelas.

Komplikasi: bukti tentang komplikasi (seperti ketidakselesaan atau sakit) adala pelbagai. Satu kajian melaporkan penyembuhan yang tertunda dalam satu orang yang menjalani ARP. Dalam kajian yang lain, sesetengah orang mengalami sakit dan bengkak selepas ARP. Kajian-kajian lain melaporkan tiada komplikasi.

Implikasi untuk implan gigi: bukti dari kajian di mana ARP menggunakan tulang haiwan mencadangkan ARP mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan dengan keperluan menambah lebih banyak tulang ke rahang sebelum implan dapat diletakkan. Walau bagaimanapun, kami tidak yakin tentang penemuan ini. Ini kerana kajian-kajian melaporkan penemuan yang bercanggahan dan tidak melaporkan kaedah dengan jelas.

Adalah tidak jelas jika ARP mempengaruhi kejayaan implan, atau penampilan gigi selepas implantasi. Ini kerana terlalu sedikit kajian kukuh menyiasatnya.

Perbandingan pelbagai bahan

Lapan kajian membandingkan penggunaan bahan ARP yang berbeza (tulang haiwan berbanding tulang buatan). Secara am, kajian-kajian tersebut tidak memberi bukti yang cukup kukuh untuk menentukan bahan mana yang paling sesuai.

Kehilangan tulang: ada beberapa bukti yang menunjukkan mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam kehilangan tulang berbanding tulang haiwan dan tulang buatan. Walau bagaimanapun, kami tidak yakin tentang penemuan ini. Ini kerana kajian-kajian melaporkan penemuan yang bercanggahan dan tidak melaporkan kaedah dengan jelas.

Komplikasi: bukti tentang komplikasi adalah bercampur-campur. Sesetengah kajian melaporkan kemerahan, sakit atau bengkak, tetapi yang lain tidak melaporkan sebarang komplikasi.

Implikasi untuk implan gigi: bukti mencadangkan bahan yang diguna mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan dengan keperluan untuk menambah lebih banyak tulang ke rahang sebelum implan diletakkan. Walau bagaimanapun, kami tidak yakin tentang penemuan ini. Ini kerana kajian-kajian melaporkan penemuan yang bercanggahan dan tidak melaporkan kaedah dengan jelas.

Tidak jelas jika bahan dan kaedah ARP yang berbeza mempunyai kesan yang berbeza terhadap kejayaan implan, atau penampilan gigi selepas implantasi. Ini kerana terlalu sedikit kajian kukuh menyiasatnya.

Apakah maksudnya?

Kami tidak tahu cara terbaik untuk memulihara tulang rahang selepas cabutan gigi. Tidak jelas :

- jika ARP lebih baik berbanding tiada ARP; atau
- jika sebilangan bahan dan teknik ARP lebih baik daripada yang lain.

Ini kerana bukti yang ada sekarang tidak cukup kukuh.

Kajian masa depan yang melaporkan kaedah dengan jelas dan menyusul orang dalam jangka masa panjang akan membantu memperkukuh bukti dan membuat kesimpulan.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Bukti adalah terkini sehingga Mac 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information