Perbandingan rawatan embolisme paru-paru akut sebagai pesakit luar berbanding pesakit dalam

Terjemahan ini tidak dikemas kini. Sila klik di sini untuk melihat versi Bahasa Inggeris terbaru Ulasan.

Latarbelakang

Embolisme paru-paru merupakan penyakit ketiga yang paling biasa ditemui di seluruh dunia dan ianya mengancam nyawa. Terdapat antara 23 ke 69 kes embolisme paru-paru yang ditemui dalam 100,000 orang setiap tahun. Untuk pesakit embolisme paru-paru akut (serangan mengejut) yang berisiko rendah, rawatan pesakit luar (di rumah) berkemungkinan mampu memberikan beberapa kelebihan berbanding rawatan konvensional secara dalam hospital, antaranya termasuk mengurangkan kadar kemasukan ke hospital, penjimatan kos yang besar dan penambahbaikan kualiti kehidupan dari segi kesihatan. Kajian sistematik ini bertujuan untuk mengevaluasi risiko dan kelebihan rawatan yang diterima pesakit embolisme paru-paru akut sebagai pesakit luar berbanding dalam hospital khususnya pesakit embolisme yang berisiko rendah.

Ciri-ciri ulasan

Kami telah mencari pengkalan data saintifik untuk percubaan klinikal tentang pengurusan penyakit ini terhadap pesakit dewasa yang berisiko rendah (berumur 18 tahun dan ke atas) yang diurus sebagai pesakit luar atau dalam hospital. Ianya adalah bukti terkini sehingga Mac 2018.

Keputusan utama

Kami menyertakan dua kajian, yang melibatkan sejumlah 453 orang. Kami kurang pasti seandainya, dibandingkan dengan rawatan sebagai pesakit dalam hospital, pesakit luar lebih memiliki kesan sampingan seperti jumlah kematian, kes pendarahan, penyakit embolisme yang berulang dan kepuasan pesakit terhadap rawatan. Ini disebabkan oleh keputusan kajian yang samar-samar, malah kajian tidak melaporkan kesan-kesan sampingan seperti ketidakstabilan hemodinamik (di mana ubat-ubatan dan prosedur diperlukan untuk mengekalkan tekanan darah yang stabil) dan pematuhan pesakit terhadap rawatan (seberapa banyak pesakit mengikuti nasihat rawatan yang diberikan).

Kualiti bukti kajian

Bukti dari kajian tersebut berkualti rendah kerana ketidaktepatan keputusan. Hal ini adalah kerana hanya segelintir orang yang terlibat dalam kajian tersebut (juga bilangan peristiwa yang kecil), dan kerana kami tidak dapat mengesahkan tiadanya penerbitan yang berat sebelah (laporan kajian yang tidak menunjukkan kesan tidak diterbitkan). Maka, percubaan rawak terkawal yang lebih baik perlu dijalankan (di mana pesakit diletakkan secara rawak di antara satu atau dua kumpulan rawatan, salah satunya adalah rawatan pemboleh ubah kawalan) sebelum maklumat keputusan boleh diberitahu.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syarifah Amirah Balqis Awang Damit (Lincoln University College). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi syamirahbalqis3@gmail.com.