Adakah peletakan tiub pernafasan menggunakan bantuan video (videolaryngoscopy) meningkatkan kejayaan dan keselamatan prosedur dalam kalangan bayi baru lahir?

Mesej utama

Laringoskopi video boleh meningkatkan kejayaan meletakkan tiub pernafasan pada percubaan pertama, dan mungkin mengakibatkan kurang cubaan oleh penyedia penjagaan untuk meletakkan tiub pernafasan dalam kalangan bayi baru lahir yang sakit, tetapi ia tidak mengurangkan jumlah masa yang diperlukan untuk meletak tiub pernafasan.

Laringoskopi video berkemungkinan mengakibatkan kurang kecederaan saluran pernafasan bayi baru lahir semasa tiub pernafasan diletakkan.

Kami perlukan kajian-kajian yang lebih baik untuk memahami peranan laringoskopi video dalam pelbagai bidang amalan dan dengan penyedia penjagaan yang berbeza yang melakukan peletakan.

Apakah masalahnya?

Satu dalam 100 bayi yang baru lahir mungkin perlukan perletakan tiub pernafasan dalam mulut atau hidung untuk pastikan mereka terus hidup apabila mengalami kesukaran bernafas. Meletakkan tiub pernafasan secara laringoskopi terus (tanpa bantuan video) mungkin mencabar dalam kalangan bayi baru lahir kerana mulut dan saluran pernafasan yang kecil, dan tidak semua penyedia penjagaan berpengalaman.

Apakah laringoskopi video?

Melihat saluran pernafasan melalui video semasa meletakkan tiub pernafasan dipanggil laringoskopi video. Ini mungkin memudahkan dan lebih selamat untuk meletakkan tiub pernafasan. Ini juga boleh membantu pelatih apabila mempelajari kemahiran menyelamatkan nyawa ini.

Apa yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu sama ada menggunakan laringoskopi video meningkatkan kejayaan dan keselamatan peletakan tiub pernafasan berbanding teknik laringoskopi langsung dalam kalangan bayi berumur 0 hingga 28 hari.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang menyiasat sama ada peranti video lebih baik berbanding pendekatan standard tanpa bantuan video (laringoskopi langsung) untuk meletakkan tiub pernafasan dalam kalangan bayi. Kajian boleh mengukur masa, bilangan percubaan, kadar kejayaan percubaan pertama untuk meletakkan tiub pernafasan, atau kesan-kesan sampingan.

Kami membanding dan merumus keputusan kajian-kajian dan menilai keyakinan terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami dapati?

Kami mendapati lapan kajian yang layak, dengan 759 percubaan intubasi dalam kalangan bayi baru lahir. Mereka melaporkan masa, bilangan percubaan, kadar kejayaan percubaan pertama untuk meletakkan tiub pernafasan, dan kesan sampingan. Secara ringkas:

Laringoskopi video meningkatkan kejayaan meletakkan tiub pernafasan pada percubaan pertama, dan mungkin mengakibatkan kurangan bilangan percubaan oleh penyedia penjagaan untuk meletakkan tiub pernafasan bayi baru lahir yang sakit, tetapi tidak mengurangkan jumlah masa yang diperlukan untuk meletak tiub pernafasan.

Laringoskopi video mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas bilangan bayi yang mengalami episod oksigen rendah atau kadar denyutan jantung rendah (atau kedua-duanya) semasa tiub pernafasan diletak, tetapi bukti sangat tidak pasti. Laringoskopi video boleh menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan paras oksigen terendah semasa tiub pernafasan diletakkan.

Laringoskopi video mungkin mengakibatkan kurang kecederaan pada saluran pernafasan bayi baru lahir semasa tiub pernafasan diletakkan.

Tiada data tersedia tentang kesan buruk lain semasa tiub pernafasan diletakkan.

Apakah batasan bukti?

Kami mendapati kajian-kajian yang disertakan adalah kecil, kami tidak dapat menilai risiko bias sesetengah kajian dan keputusan-keputusan kajian adalah pelbagai. Penyedia penjagaan yang meletakkan tiub pernafasan tahu peranti yang sedang digunakan. Ini mengurangkan keyakinan kami terhadap keputusan ulasan, dan keputusan-keputusan penyelidikan lanjut mungkin berbeza daripada keputusan ulasan ini.

Sokongan pembiayaan dan peralatan disediakan dalam sesetengah kajian yang disertakan. Dalam sesetengah kes, sumber pembiayaan dan pengisytiharan kepentingan tidak dinyatakan.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga November 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Dikemaskini. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Manipal University College Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi rcsiucd.edu.my

Tools
Information