Pembedahan untuk jari picu

Latar belakang

Jari picu secara klinikal dicirikan oleh rasa sakit dan menangkap semasa pergerakan jari. Secara klasik, rawatan awal adalah bukan pembedahan menggunakan ubat anti-radang bukan steroid, pensplinan dan suntikan kortikosteroid, dan mungkin memerlukan rawatan pembedahan jika rawatan konvensional gagal. Walaupun ia adalah keadaan lazim, tiada persetujuan mengenai pendekatan rawatan pembedahan yang terbaik (dengan insisi kulit dan penglihatan langsung struktur tangan (terbuka); pendekatan melalui jarum atau mata pisau yang diperkenalkan melalui kulit, tanpa penglihatan langsung struktur tangan (perkutaneus) atau melalui tiub yang fleksibel dengan kamera cahaya yang terlekat padanya (endoskopik).

Ciri-ciri kajian

Ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga Ogos 2017. Kami memasukkan 14 kajian rawak terkawal yang melibatkan 1260 peserta, dengan jumlah 1361 jari picu. Dua kajian membandingkan pembedahan terbuka dengan suntikan steroid, lima kajian membandingkan pembedahan perkutaneus dengan suntikan steroid, satu kajian membandingkan pembedahan terbuka dengan suntikan steroid ditambah dengan suntikan asid hialuronik, satu kajian membandingkan pembedahan perkutaneus ditambah dengan suntikan steroid berbanding dengan suntikan steroid, lima kajian membandingkan pembedahan perkutaneus dengan pembedahan terbuka, satu kajian membandingkan pembedahan endoskopik dengan pembedahan terbuka dan satu kajian membandingkan tiga jenis insisi kulit dengan pembedahan terbuka. Majoriti peserta adalah wanita (sekitar 70%); mereka berusia antara 16 dan 88 tahun; dan purata susulan peserta selepas prosedur adalah lapan minggu hingga 23 bulan. Akibat kekangan ruang, pelaporan semua keputusan adalah terhad kepada perbandingan utama - pembedahan terbuka berbanding suntikan steroid - kerana pembedahan terbuka adalah kaedah rawatan tertua dan paling banyak digunakan dan dianggap sebagai pembedahan standard, sedangkan suntikan steroid adalah kaedah kawalan rawatan yang paling invasif seperti yang dilaporkan dalam kajian-kajian dalam ulasan ini dan sering digunakan sebagai rawatan 'barisan pertama' dalam amalan klinikal.

Keputusan utama

Berdasarkan dua kajian (270 peserta), membandingkan prosedur suntikan steroid:

Penyelesaian jari picu (pengurangan gejala tanpa pengulangan):

• 92 daripada 100 orang mempunyai penyelesaian gejala dengan pembedahan terbuka.

• 61 daripada 100 orang mempunyai penyelesaian gejala dengan suntikan steroid.

Insiden sakit, dinilai sebagai kehadiran atau ketiadaan sakit selepas prosedur dilakukan (pada satu minggu):

• 49% lebih ramai orang mengalami sakit dengan pembedahan terbuka (lebih 33% hingga 66%).

• 68 daripada 100 orang mengalami sakit dengan pembedahan terbuka.

• 19 daripada 100 orang mengalami sakit dengan suntikan steroid.

Perulangan jari picu (dari enam hingga 12 bulan):

• 29% lebih sedikit orang mengalami gejala berulang dengan pembedahan terbuka (60% kurang ke 3% lebih).

• 7 daripada 100 orang mengalami gejala berulang dengan pembedahan terbuka.

• 39 daripada 100 orang mengalami gejala berulang dengan suntikan steroid.

Kejadian-kejadian buruk

Kejadian buruk termasuk jangkitan, kecederaan tendon, ketidakselesaan kutaneus, suar atau nekrosis lemak di tapak prosedur, atau kejadian neovaskular adalah tidak biasa dalam mana-mana kumpulan rawatan.

Tiada kajian yang melaporkan fungsi tangan atau laporan oleh peserta kejayaan atau kepuasan rawatan.

Kualiti bukti

Kualiti bukti yang sangat rendah dari dua kajian bermakna kami tidak pasti sama ada pembedahan terbuka memperbaiki penyelesaian jari picu berbanding suntikan steroid, kerana risiko bias dalam reka bentuk kajian, ketidakkonsistenan antara kajian dan bilangan peserta yang kecil dalam kajian-kajian. Bukti berkualiti rendah dari dua kajian menunjukkan pembedahan terbuka mungkin mengakibatkan kurang perulangan jari picu berbanding prosedur suntikan steroid, walaupun ia meningkatkan insiden sakit pada minggu pertama selepas prosedur. Bukti diturunkan gred kepada 'rendah' kerana risiko bias dalam reka bentuk dan bilangan peserta yang kecil. Tiada kajian yang mengukur penambahbaikan fungsi atau kepuasan peserta dalam perbandingan antara pembedahan terbuka dan suntikan steroid. Kami tidak pasti sama ada terdapat perbezaan risiko kejadian buruk atau kecederaan neurovaskular di antara rawatan, kerana beberapa kejadian telah berlaku dalam kajian.

Hanya bukti berkualiti rendah dan sangat rendah didapati untuk perbandingan lain, oleh itu kami tidak pasti jika pembedahan perkutaneus mempunyai manfaat ke atas suntikan steroid, atau jika pembedahan terbuka lebih baik daripada steroid dan asid hialuronik, atau jika satu jenis pembedahan lebih baik daripada yang lain.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information