Diet gaya Mediterranean untuk pencegahan penyakit kardiovaskular

Umum mengetahui bahawa diet memain peranan penting dalam risiko penyakit kardiovaskular. POla diet tradisional Mediterranean menarik minat kerana pemerhatian sejak 1960an terhadap populasi di negara rantau Mediterranean, seperti Greece dan Itali, mempunyai kadar kematian yang lebih rendah untuk penyakit kardiovascular berbanding dengan populasi Eropah utara atau Amerika Syarikat, mungkin disebabkan oleh tabiat makan yang berbeza.

Ulasan ini menilai kesan memberi nasihat diet mengikut diet gaya Mediterranean atau pemberian makanan yang relevan dengan diet (atau kedua-duanya) kepada orang dewasa yang sihat, orang yang lebih berisiko penyakit kardiovaskular dan mereka dengan penyakit kardiovaskular, untuk mengelakkan kejadian atau perulangan penyakit kardiovaskular dan mengurangkan faktor risiko yang berkait dengannya. Definisi pola diet Mediterranean adalah berbeza-beza dan kami hanya memasuk kajian rawak terkawal (RCT) intervensi yang melaporkan kedua-dua komponen penting berikut: nisbah lemak tak tepu mono/lemak tepu yang tinggi (penggunaan minyak zaitun sebagai bahan masakan utama dan/atau penggunaan makanan tradisional lain yang tinggi lemak tak tepu mono seperti kacang) dan pengambilan makanan berasaskan tumbuhan yang tinggi, termasuk buah-buahan, sayur-sayuran dan kekacang. Komponen tambahan termasuk: penggunaan wain merah rendah hingga sederhana; penggunaan bijian sempurna dan bijirin yang tinggi; penggunaan daging dan produk daging yang rendah dan peningkatan penggunaan ikan; penggunaan susu dan produk susu sederhana. Kumpulan kawalan adalah tiada intervensi atau intervensi yang minima, penjagaan biasa atau intervensi diet lain. Kami mendapati 30 RCT (49 artikel) yang memenuhi kriteria. Kajian-kajian tersebut amat berbeza di antara satu sama lain dari segi perserta yang direkrut dan intervensi diet yang berbeza-beza. Kami mengumpulkan kajian-kajian untuk melihat kesan mengikuti diet gaya Mediterranean ke dalam empat kategori berikut untuk membantu kami mentafsirkan keputusannya:

1. Intervensi diet Mediterranean berbanding tiada intervensi atau intervensi minimum untuk mencegah kejadian penyakit kardiovaskular;

2. Intervensi diet Mediterranean berbanding intervensi lain untuk mencegah kejadian penyakit kardiovaskular;

3. Intervensi diet Mediterranean berbanding penjagaan biasa untuk orang yang mengalami penyakit kardiovaskular untuk mengelakkan perulangan;

4. Intervensi diet Mediterranean berbanding intervensi diet lain untuk orang yang mengalami penyakit kardiovaskular untuk mengelakkan perulangan.

Beberapa kajian melaporkan kejadian penyakit kardiovaskular sama ada dalam kalangan mereka yang mempunyai atau tanpa penyakit pada permulaan. Satu kajian besar dalam kalanngan orang yang berisiko tinggi penyakit kardiovaskular mendapati manfaat intervensi diet Mediterranean berbanding diet rendah lemak terhadap risiko strok, tetapi bukan bagi serangan jantung, kematian akibat penyakit jantung atau sebab lain. Kajian lanjut dalam kalangan orang dengan penyakit kardiovaskular mendapati manfaat intervensi diet Mediterranean terhadap kematian akibat penyakit jantung atau sebab-sebab lain. Kami menilai kedua-dua kajian ini sebagai bukti berkualiti rendah hingga sederhana. Kami mengecualikan dua kajian dari analisis kerana kebimbangan timbulnya data yang tidak boleh dipercayai. Kajian-kajian lain dalam ulasan tersebut mengukur faktor-faktor risiko penyakit kardiovaskular. Terdapat bukti berkualiti rendah hingga sederhana untuk beberapa perubahan yang bermanfaat bagi tahap lipid dan tekanan darah dengan diet gaya Mediterranean dalam kalangan orang tanpa penyakit. Dalam kalangan orang dengan penyakit kardiovaskular terdapat bukti berkualiti sangat rendah hingga rendah bahawa tiada kesan diet gaya Mediterranean terhadap faktor risiko. Dua kajian melaporkan kesan sampingan diet yang sama ada tidak hadir atau kecil.

Ulasan tersebut menyimpulkan, walaupun terdapat banyak kajian yang disertakan, masih terdapat ketidakpastian mengenai kesan diet gaya Mediterranean terhadap kejadian penyakit kardiovaskular dan faktor risiko dalam kalangan orang dengan dan tanpa penyakit kardiovaskular. Kami mendapati tujuh kajian yang masih berterusan dan apabila mendapat keputusannya, kami akan masukkan ke dalam ulasan untuk membantu mengurangkan ketidakpastian.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information