Rawatan untuk kecelaruan delusi

Kecelaruan delusi adalah sejenis penyakit mental yang mana delusi sekian lama (kepercayaan pelik) merupakan satu-satunya gejala atau gejala dominan. Terdapat beberapa jenis delusi. Sesetengahnya boleh menjadikan orang yang terlibat berasa mereka ditindas atau menyebabkan kebimbangan bahawa mereka menghidap penyakit yang sebenarnya tidak dipunyai. Orang-orang boleh mempunyai delusi keagungan, bahawa mereka berasa seperti mereka mempunyai kedudukan yang tinggi atau terkenal. Delusi juga boleh melibatkan perasaan cemburu terhadap orang lain atau kepercayaan pelik mengenai imej badan, bahawa mereka mempunyai kecacatan tertentu.

Kecelaruan delusi adalah sukar dirawat. Ubat-ubatan antipsikotik, antidepresan dan kestabilan mood sering digunakan untuk merawat penyakit mental ini dan minat untuk terapi psikologi seperti psikoterapi dan terapi tingkah laku kognitif (CBT) sebagai rawatan juga semakin meningkat.

Ulasan ini bertujuan menilai keberkesanan semua rawatan terkini bagi pesakit kecelaruan delusi. Satu carian untuk kajian rawak terkawal telah dijalankan pada tahun 2012. Pengarang menjumpai 141 nukilan dalam carian tersebut tetapi hanya satu kajian yang melibatkan 17 orang secara rawak yang boleh dimasukkan ke dalam ulasan ini. Kajian tersebut membandingkan keberkesanan CBT dengan psikoterapi sokongan ke atas pesakit kecelaruan delusi. Para peserta telahpun mengambil ubat-ubatan pada masa itu dan diteruskan semasa kajian. Ulasan ini tidak dapat memasukkan kajian-kajian yang menggunakan sebarang jenis ubatan dalam rawatan kecelaruan delusi.

Daripada kajian yang terlibat, terdapat maklumat terhad yang dikemukakan yang boleh kami gunakan. Kesimpulan yang kukuh sukar dibuat dan tiada bukti tentang peningkatan tingkah laku pesakit dan kesihatan mental secara keseluruhan. Lebih ramai orang dalam kumpulan psikoterapi sokongan meninggalkan kajian lebih awal, namun bilangan peserta adalah kecil dan perbezaan keseluruhan di antara kumpulan tidak cukup untuk membuat kesimpulan bahawa sesuatu rawatan adalah lebih baik daripada yang lain. Terdapat kesan positif CBT untuk harga diri sosial pesakit, namun penemuan ini terhad oleh kuantiti dan kualiti data yang rendah dan tidak berkaitan dengan fungsi sosial atau fungsi harian mereka.

Pada masa ini, maklumat berdasarkan bukti berkualiti tinggi tentang rawatan gangguan delusi dan bukti untuk membuat cadangan ke atas mana-mana jenis rawatan adalah kurang secara keseluruhannya. Sementara bukti itu ditemui, rawatan gangguan delusi akan termasuk rawatan-rawatan yang berkesan untuk gangguan psikotik dan masalah kesihatan mental yang lain.

Lebih banyak kajian berskala besar dan berkualiti tinggi diperlukan dalam bidang ini. Penyelidikan juga boleh diperbaiki dengan menjalankan kajian hanya khusus untuk pesakit kecelaruan delusi.

Ben Gray, Penyelidik Kanan Setara, Yayasan McPin: http://mcpin.org/.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Zcho Huey (Penang Medical College).Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi zchohuey_c2017@ms.pmc.edu.my

Tools
Information