Intervensi untuk mengelakkan racauan dalam kalangan pesakit tenat di Unit Rawatan Rapi

Latar belakang

Racauan adalah sindrom klinikal yang melibatkan gangguan atau kekeliruan minda secara tiba-tiba atau akut (berlaku dalam dalam jangkamasa beberapa jam atau hari) yang dialami oleh pesakit dewasa yang tenat di Unit Rawatan Rapi. Ianya dikaitkan dengan penggunaan mesin ventilasi mekanikal dalam tempoh yang lama untuk bantuan pernafasan, tempoh tinggal yang lama di Unit Rawatan Rapi dan hospital dan risiko kematian yang lebih tinggi. Racauan di Unit Rawatan Rapi juga dikaitkan dengan masalah gangguan kognitif, seperti hilang ingatan dan kekeliruan, kesukaran memberi tumpuan dan kemerosotan tahap kesedaran. Faktor risiko bagi gejala racauan adalah lanjut usia, ketagihan alkohol, kurang daya penglihatan dan/atau pendengaran dan, untuk pesakit yang tenat, penggunaan pengekang, masalah kesakitan berpanjangan dan kesan ubat-ubatan.

Soalan ulasan

Tujuan kami adalah untuk menilai bukti saintifik sedia ada, berkaitan kesan intervensi bagi mencegah racauan di Unit Rawatan Rapi, mengurangkan kematian di hospital, memendekkan tempoh koma/racauan, keperluan ventilasi mekanikal untuk bantuan pernafasan, jangkamasa berada di Unit Rawatan Rapi dan masalah gangguan mental.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan 12 kajian rawak terkawal (3885 peserta) dalam ulasan ini. Kajian-kajian ini melibatkan pesakit dewasa di Unit Rawatan Rapi Pembedahan dan Perubatan, yang berumur di antara 48 dan 70 tahun. Kajian-kajian ini melakukan perbandingan antara ubat-ubatan yang berbeza (tiga kajian), pendekatan terhadap prosedur sedasi yang pelbagai (lima kajian), terapi fizikal atau kognitif atau kedua-duanya sekali (satu kajian), pengurangan bunyi dan cahaya di Unit Rawatan Rapi (dua kajian), dan penjagaan perawatan preventif (satu kajian). Kebanyakan kajian ini mempunyai bilangan peserta yang kecil dan para penyelidik yang terlibat dalam menilai kesan terhadap hasil kajian tidak dibutakan. Kami melaporkan hasil penemuan kajian berkaitan kesan daripada dua pendekatan yang sering diterokai bagi pencegahan racauan iaitu intervensi ubatan dan bukan ubatan, perbandingan antara haloperidol dengan ubatan sham, dan terapi fizikal dan kognitif yang awal dengan rawatan biasa.

Keputusan utama

Penemuan kami mencadangkan bahawa terdapat perbezaan kecil atau tiada perbezaan antara haloperidol dan plasebo untuk mencegah racauan di Unit Rawatan Rapi, tetapi kajian lanjut diperlukan bagi mengukuhkan keyakinan kita terhadap hasil kajian. Lebih banyak kajian berkaitan terapi fizikal dan kognitif diperlukan kerana bukti kajian yang sedia ada tidak mencukupi untuk menentukan samada pendekatan bukan ubatan berkemampuan untuk mencegah racauan di Unit Rawatan Rapi. Penyelidikan tambahan diperlukan bagi meninjau kelebihan dan kesan bahaya pendekatan intervensi yang lain untuk pencegahan racauan di Unit Rawatan Rapi seperti prosedur sedasi dan perubahan di persekitaran Unit Rawatan Rapi, dan rawatan penjagaan yang disesuaikan untuk mencegah racauan

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti sebagai sederhana hingga sangat rendah. Beberapa kajian mempunyai kelemahan dari aspek kualiti, termasuk jumlah peserta kajian yang sedikit, dan kurang pembutaan kepada mereka yang menilai kesan intervensi pencegahan racauan dan juga kesan-kesan kajian yang lain. Bagi intervensi yang menguji pendekatan sedasi atau ubat pelali, terapi fizikal dan kognitif, dan perubahan persekitaran, penyelidikan tambahan diperlukan untuk memberi gambaran yang lebih jelas mengenai tahap keberkesanan mereka. Lima kajian berada di dalam senarai ‘Kajian menunggu klasifikasi’, dan 15 kajian masih berjalan, berkemungkinan mengubah kesimpulan ulasan ini apabila kajian-kajian tersebut selesai dan telah dinilai.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Erni Zurina Romli (Malaysian Ministry of Health). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi zuromli@yahoo.com.

Tools
Information
Share/Save