Terapi antibiotik pencegahan untuk orang dengan COPD

Apakah COPD?

COPD adalah penyakit pernafasan kronik lazim yang mempengaruhi terutamanya orang-orang yang merokok sekarang atau pernah merokok terdahulu. Ia mungkin menjadi punca kematian yang ketiga di seluruh dunia pada tahun 2020. Orang dengan COPD mengalami kesesakan pernafasan yang semakin teruk dan batuk dengan kahak kerana kerosakan kekal saluran udara dan paru-paru. Mereka dengan COPD mungkin mempunyai eksaserbasi paling lazim dengan jangkitan pernafasan. Eksaserbasi boleh mengakibatkan kehilangan fungsi paru-paru yang tidak dapat dipulihkan, hari tidak bekerja, kemasukan ke hospital, pengurangan kualiti hidup, ataupun kematian.

Mengapakah kami melaksanakan ulasan ini?

Kami ingin mengetahui jika pemberian antibiotik untuk mencegah eksaserbasi (antibiotik profilaksis) dapat mengurangkan kekerapan eksaserbasi dan memperbaiki kualiti hidup. Kajian-kajian yang dipertimbangkan menggunakan sama ada antibiotik profilaksis secara berterusan (setiap hari) ataupun antibiotik yang digunakan secara berselang (tiga kali seminggu) ataupun berdenyut (contoh: selama lima hari setiap lapan minggu)

Apakah bukti yang kami perolehi?

Kami menjalankan carian kajian pada Julai 2018. Kami mendapati 14 kajian rawak terkawal (RCT) yang melibatkan 3932 peserta. Semua kajian telah diterbitkan di antara 2001 dan 2015. Sembilan kajian melibatkan penggunaan antibiotik berterusan, dua kajian melibatkan penggunaan antibiotik profilaksis berselang dan dua kajian lagi melibatkan penggunaan antibiotik secara berdenyut. Kajian yang terakhir melibatkan penggunaan satu antibiotik secara berterusan, satu secara berdenyut dan satu lengan plasebo. Antibiotik yang dikaji ialah azithromycin, eritromisin, clarithromycin, roxithromycin, doxycycline dan moxifloxacin. Purata umur peserta kajian adalah di antara 65 dan 72 tahun dan mengalami COPD sederhana ataupun teruk. Tiga kajian melibatkan peserta dengan eksaserbasi kerap dan dua kajian merekrut peserta yang memerlukan tablet steroid atau antibiotik atau kedua-duanya, atau mereka yang di peringkat akhir penyakit dan memerlukan oksigen. Satu lagi kajian hanya memasukkan orang dengan sejenis komplikasi COPD, melibatkan jantung dan saluran darah paru-paru (dikenali sebagai hipertensi pulmonari)

Keputusan dan kesimpulan

Kami mendapati penggunaan antibiotik mengurangkan bilangan peserta yang mengalami eksaserbasi. Bagi setiap lapan peserta yang dirawat, satu orang akan dicegah daripada penderitaan eksaserbasi. Walau bagaimanapun, bukan semua regim antibiotik mempunyai impak yang sama terhadap eksaserbasi. Keputusan ini mencadangkan pemberian antibiotik sekurang-kurangnya tiga kali seminggu lebih berkesan daripada pemberian antibiotik harian untuk beberapa hari dan diikuti dengan beberapa minggu rehat. Kami juga mendapati mungkin ada manfaat terhadap laporan tentang peningkatan kualiti hidup dengan penggunaan antibiotik. Selain itu, penggunaan antibiotik tidak mempengaruhi bilangan kematian akibat sebarang sebab, kekerapan kemasukan hospital, atau kehilangan fungsi paru-paru dalam tempoh kajian.

Walaupun ada kemungkinan kurang eksaserbasi dengan penggunaan antibiotik, terdapat beberapa kelemahan pengambilan antibiotik. Pertama, terdapat kejadian buruk yang berkaitan dengan antibiotik, yang berbeza mengikut antibiotik yang digunakan; kedua, pesakit perlu mengambil antibiotik secara regular selama berbulan atau tahun; akhirnya, peningkatan rintangan antibiotik akan memberi implikasi bagi pesakit individu dan komuniti amya dengan mengurangkan keberkesanan antibiotik sedia ada.

Kerana kebimbangan rintangan antibiotik dan kesan buruk spesifik, pertimbangan antibiotik profilaksis harus mengambil kira keseimbangan di antara manfaat kepada pesakit individu dan potensi mudarat kepada masyarakat akibat penggunaan antibiotik berlebihan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Zi Yan Chiah (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi (Chris_ZY@live.com)

Tools
Information
Share/Save