Dos clozapine dalam skizofrenia

Latar belakang: Skizofrenia adalah penyakit mental yang teruk yang menjejaskan pemikiran dan persepsi. Orang dengan skizofrenia sering mengalami gangguan yang mendalam dalam pertuturan, proses emosi, tingkah laku dan rasa diri mereka. Ubat antipsikotik boleh menjadi rawatan yang berguna bagi skizofrenia; tetapi, mengambil ubat antipsikotik mempunyai kesan yang tidak menyenangkan. Clozapine adalah ubat antipsikotik yang boleh digunakan dalam rawatan skizofrenia, terutama apabila ubat-ubatan antipsikotik lain tidak berkesan. Namun, adalah tidak jelas, apakah dos clozapine yang paling berkesan dengan kesan sampingan yang paling kurang. Ulasan ini menyiasat kesan menerima clozapine pada empat tahap dos yang berbeza (dos yang tinggi, dos standard, dos rendah, dos yang sangat rendah).

Pencarian: Satu carian elektronik untuk kajian-kajian yang merawakkan orang-orang dengan skizofrenia untuk menerima dos clozapine berbeza dijalankan pada Ogos 2011 dan sekali lagi pada 8 Disember 2016.

Keputusan: Kami mendapati lima kajian dengan 452 peserta yang memenuhi kriteria kemasukan kami. Setiap kajian membandingkan kesan clozapine pada dos yang sangat rendah (sehingga 149 mg/hari), dos rendah (150 mg/hari hingga 300 mg/hari) dan dos standard (301 mg/hari hingga 600 mg/hari). Tiada satu pun kajian yang mengkaji kesan dos clozapine yang lebih tinggi daripada dos standard. Tiada apa-apa yang boleh dipilih di antara dos standard, rendah dan sangat rendah dari segi ukuran indeks jisim tubuh(BMI) dalam jangka pendek. Walau bagaimanapun, pertambahan berat badan adalah lebih besar bagi mereka yang menerima dos standard berbanding mereka yang menerima dos rendah. Insiden kesan sampingan yang tidak menyenangkan (termasuk kelesuan, penghasilan air liur yang terlalu banyak, dan rasa pening) adalah kurang pada dos rendah berbanding dengan dos standard.

Kualiti bukti: Untuk hasil utama, kualiti adalah rendah atau sangat rendah.

Kesimpulan: Kami tidak mendapati bukti yang mungkin menunjukkan dos clozapine terbaik untuk pesakit dengan skizofrenia. Pertimbangan berhati-hati perlu diberi untuk mengimbangi kebaikan dan keburukan pelbagai dos yang dikaitkan dengan pertambahan berat badan dan kesan-kesan sampingan yang lain. Keseluruhan ukuran BMI adalah sama di antara kumpulan; Namun, beberapa kesan sampingan kelihatan lebih rendah pada dos rendah. Secara keseluruhannya, ulasan ini menyerlahkan kurangnya maklumat berasaskan bukti yang sedia ada untuk menangani persoalan tentang apakah dos clozapine yang paling berkesan dengan kesan sampingan yang paling kurang. Kajian rawak klinikal yang lebih besar, dengan reka bentuk lebih baik dan dilaporkan dengan baik adalah perlu untuk menjawab persoalan ini. Terdapat keperluan khas untuk kajian sedemikian bagi melihat hasil jangka panjang, dan mengkaji kesan clozapine apabila diberi pada dos yang lebih daripada dos standard.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information
Share/Save