Intervensi untuk mencegah delirium dalam kalangan orang tua dalam institusi penjagaan jangka panjang (LTC)

Soalan ulasan

Berkesankah rawatan untuk mencegah delirium dalam kalangan orang tua yang berada dalam penjagaan jangka panjang (LTC)?

Latar belakang

LTC adalah nama yang digunakan untuk rumah yang menyediakan penjagaan diri, pengawasan ubat-ubatan dan bantuan aktiviti harian, serta rumah penjagaan yang menyediakan penjagaan 24 jam. Delirium adalah penyakit lazim dan serius untuk orang tua yang tinggal di LTC. Delirium adalah keadaan yang menyebabkan kekeliruan, biasanya selama beberapa jam atau hari. Sesetengah orang dengan delirium menjadi diam dan mengantuk manakala yang lain menjadi gelisah dan keliru, jadi ia badalah keadaan yang sangat menyedihkan. Delirium boleh meningkatkan peluang untuk masuk ke hospital, menjadi demensia dan boleh meningkatkan risiko kematian.

Yang penting, kajian mengenai orang-orang di hospital menunjukkan kemungkinan untuk mencegah kira-kira sepertiga kes delirium dengan menyediakan pelan persekitaran dan penjagaan yang mensasarkan faktor risiko delirium, termasuk, menyediakan pencahayaan yang lebih baik dan tanda-tanda untuk mengelak kekeliruan; mengelakkan penggunaan kateter yang tidak perlu untuk mencegah jangkitan; dan mengelakkan ubat tertentu yang meningkatkan risiko delirium.

Kajian ini telah mencari dan menilai penyelidikan untuk mencegah delirium dalam kalangan orang tua yang tinggal di LTC.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga Februari 2019. Kami menemui tiga kajian yang melibatkan 3851 peserta. Dua kajian berlangsung di AS manakala satu kajian lagi di UK.

Satu kajian menguji sama ada delirium boleh dicegah dengan mengira berapa banyak cecair diperlukan orang tua di rumah penjagaan setiap hari dan memastikan penghidratan dikekalkan. Terdapat 98 orang dalam kajiantersebut, yang berlangsung selama empat minggu.

Satu kajian menguji kesan program komputer yang mencari preskripsi ubat-ubatan yang mungkin meningkatkan peluang untuk mendapat delirium, bagi membolehkan ahli farmasi melaras atau menghentikannya. Terdapat 3538 orang dalam kajian tersebut, yang berlangsung selama 12 bulan.

Satu kajian menguji intervensi pendidikan yang dipertingkatkan termasuk sesi pembelajaran mengenai delirium dengan kakitangan rumah penjagaan dan mesyuarat kumpulan untuk sasaran identiti bagi mencegah delirium. Terdapat 215 orang dalam kajian ini, yang berlangsung selama 16 bulan.

Keputusan utama

Adalah tidak mungkin untuk menentukan jika intervensi penghidratan mengurangkan kejadian delirium. Ini adalah satu kajian kecil jangka pendek dengan masalah reka bentuk kajian yang serius.

Kajian tentang program pencarian ubat berkomputer mungkin mengurangkan delirium, tetapi tiada pengurangan yang jelas dalam kemasukan hospital, kematian atau jatuh. Masalah yang berpotensi adalah penggunaan program berkomputer ini tidak mungkin dapat dibuat di negara yang tidak mempunyai sistem komputer yang sama.

Adalah tidak mungkin untuk menentukan jika intervensi pendidikan yang dipertingkatkan mengurangkan kejadian delirium dan tiada pengurangan jumlah kematian yang jelas. Intervensi tersebut mungkin dikaitkan dengan pengurangan kemasukan ke hospital. Ini adalah berdasarkan penemuan dari kajian yang kecil.

Kualiti bukti

Terdapat bukti berkualiti sangat rendah tentang keberkesanan intervensi penghidratan untuk mengurangkan insiden delirium. Oleh itu, tidak mungkin untuk membuat kesimpulan yang kukuh.

Terdapat bukti berkualiti sederhana bahawa program carian ubat berkomputer boleh mengurangkan insiden delirium. Tiada bukti jelas untuk mengurangkan hospitalisasi, kematian atau jatuh.

Terdapat bukti berkualiti sangat rendah keberkesanan intervensi pendidikan yang dipertingkatkan untuk mengurangkan delirium. Oleh itu, tidak mungkin untuk membuat kesimpulan yang kukuh. Terdapat bukti berkualiti sederhana untuk mengurangkan kemasukan hospital.

Oleh kerana ulasan ini hanya menemui sebilangan kecil kajian penyelidikan, kami mengesyorkan kajian lanjutan, menguji pelbagai cara untuk mencegah delirium dalam kalangan orang tua di LTC.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syarifah Amirah Balqis Awang (Lincoln University College. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi syamirahbalqis3@gmail.com

Tools
Information
Share/Save