Terapi periodontium sokongan (SPT) untuk mengekalkan gigi dalam kalangan dewasa yang dirawat untuk periodontitis

Latar belakang

Periodontitis (penyakit gusi) adalah keadaan kronik yang disebabkan oleh bakteria, yang merangsang keradangan dan kemusnahan tisu tulang dan gusi yang menyokong gigi. Mereka yang dirawat untuk periodontitis boleh mengurangkan kemungkinan jangkitan semula dan kemaraan penyakit melalui terapi periodontium sokongan regular. SPT bermula apabila periodontitis telah dirawat dengan memuaskan, bermakna keradangan terkawal dan kemusnahan tisu yang menyokong gigi (tulang dan gusi) telah terkawal. SPT bertujuan mengekalkan fungsi gigi , tiada sakit, tiada mobiliti berlebihan atau jangkitan berterusan untuk jangka masa panjang. Rawatan SPT biasanya termasuklah memastikan kebersihan oral yang sangat baik, pemantauan berkala untuk kemaraan atau ulangan penyakit, dan pembuangan deposit mikrob oleh profesional pergigian. Walaupun kejayaan SPT telah dicadangkan melalui kebanyakan kajian retrospektif jangka panjang, adalah penting untuk menilai bukti sedia ada daripada kajian rawak terkawal (RCT)

Soalan sorotan

Ulasan ini meninjau kesan-kesan pelbagai pendekatan SPT dalam kalangan dewasa yang telah dirawat untuk periodontitis.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari kajian perubatan dan pergigian sehingga 8 Mei 2017. Kami mendapati empat kajian yang disebut kajian rawak terkawal dengan 307 peserta berumur 31 hingga 85 tahun. Semua peserta telah dirawat untuk periodontitis sederhana hingga teruk dan dimasukkan ke program SPT untuk sekurang-kurangnya tiga bulan. Kajian-kajian menilai peserta untuk sekurang-kurangnya 12 bulan selepas memulakan program SPT.

Kajian-kajian membandingkan: tambahan penggunaan antibiotik (doxycycline dalam satu kajian, minocycline dalam kajian satu lagi) dengan pembersihan profesional (debridmen); tambahan penggunaan terapi fotodinamik dengan debridmen sahaja, dan SPT yang dibuat oleh pakar berbanding doktor pergigian am. Kami tidak mengenal pasti sebarang RCT yang membandingkan kesan pemberian SPT berbanding pemantauan sahaja, kesan SPT yang diberi pada selang masa berbeza atau kesan debridmen mekanikal menggunakan pelbagai pendekatan atau teknologi.

Tiada kajian yang melaporkan kehilangan gigi. Walau bagaimanapun, kajian-kajian menilai keradangan dan potensi progresi penyakit periodontium, termasuklah perdarahan semasa memprob, tahap pelekatan klinikal dan kedalaman poket yang diprob.

Keputusan utama

Bukti yang sangat terhad tidak menyatakan sama ada sesuatu pendekatan adalah lebih baik daripada yang lain untuk memperbaiki pengekalan gigi semasa SPT. Bukti berkualiti rendah hingga sangat rendah mencadangkan rawatan bersama mungkin tidak memberi manfaat tambahan untuk SPT berbanding debridmen mekanikal. Bukti berkualiti rendah mencadangkan SPT yang dilaksanakan oleh doktor pergigian am di bawah preskripsi khusus mungkin sama kesannya seperti rawatan khusus. Secara keseluruhan, bukti sedia ada tiada cukup untuk mengesyorkan pendekatan tertentu atau rawatan tambahan dalam SPT untuk mengekalkan gigi, mempromosi kesihatan gusi dan mencegah relaps.

Kualiti bukti

Hanya terdapat empat kajian kecil, dan hanya satu kajian berisiko bias rendah. Kami menilaikan bukti sebagai berkualiti rendah atau sangat rendah, oleh itu kami tidak dapat meyakini kesimpulan daripada kajian-kajian tersebut.

Kesimpulan penulis

Kami mendapati tiada cukup bukti tentang pendekatan terbaik untuk SPT, dan tiada RCT yang menilai SPT berbanding pemantauan sahaja. Bukti yang kami temui berkualiti rendah hingga sangat rendah, dan kajian-kajian tersebut mengguna pelbagai kaedah untuk melaporkan keputusan mereka, menyebabkan perbandingan menjadi sukar. Lebih banyak kajian yang melaporkan penemuan-penemuan dengan seragam diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini, sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my ). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini, sila hubungi hayatikk@usm.my

Tools
Information