Percubaan terhadap intervensi bagi wanita hamil yang obes untuk mengurangkan berat badan dan menambahbaik keadaan kandungan

Wanita-wanita hamil yang obes berisiko untuk berhadapan dengan komplikasi yang berat buat diri dan anak-anak mereka. Ibu tersebut boleh menghidap kencing manis atau mempunyai tekanan darah tinggi atau pre-eklampsia sewaktu hamil, dan kandungan mungkin akan berisiko untuk keguguran atau meninggal sewaktu dilahirkan. Bayi yang dilahirkan mungkin akan berisiko menghadapi kelainan pembuluh darah yang serius termasuk spina bifida, anomali kardiovaskular, bibir dan lelangit yang sumbing, atau anomali kecacatan anggota tubuh. Sesetengah wanita obes berhadapan dengan kelahiran pra-matang. Proses kelahiran juga mungkin akan mengambil masa yang lama dan komplikasi lain boleh membawa kepada kelahiran melalui pembedahan. Bayi yang dilahirkan juga mungkin lebih besar dari kebiasaannya, dan terdapat bukti yang mengaitkan bahawa ibu yang obes akan mempunyai anak yang obes. Nasihat yang diberikan kepada wanita-wanita obes ini adalah untuk memantau kenaikan berat badan dalam lingkungan 5.0 sehingga 9.1 kg sahaja dan sebarang pengurangan berat badan haruslah dielakkan. Namun begitu, terdapat pemerhatian yang dijalankan ke atas sebilangan wanita hamil yang obes menunjukkan sebahagian daripada mereka mengalami penurunan berat badan sewaktu hamil terutama sekali mereka yang sangat berat. Kami tidak mempunyai sebarang hasil kajian yang menunjukkan bahawasanya pengurangan berat badan sewaktu hamil adalah selamat bagi wanita obes dan bayinya. Ulasan Cochrane menyasarkan untuk menilai percubaan yang direka bagi wanita hamil yang obes untuk mengurangkan berat badan. Tiada percubaan rawak terkawal dijumpai. Kami mencadangkan supaya kajian lanjutan diadakan bagi menilai keselamatan intervensi untuk pengurangan berat badan di kalangan wanita hamil yang obes bagi ibu dan bayinya.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Faliq Adeeba Wan Ibrahim (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Sharifah Halimah Jaafar (Regency Specialist Hosp Sdn Bhd, JB). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi faliq.adeeba@gmail.com

Tools
Information
Share/Save