Lawatan ke rumah pada tempoh awal selepas kelahiran bayi

Masalah kesihatan ibu-ibu dan bayi-bayi biasanya berlaku atau menjadi ketara dalam minggu-minggu berikutan kelahiran bayi. Masalah kesihatan ibu-ibu yang mungkin berlaku termasuklah pendarahan selepas bersalin, demam dan jangkitan, sakit perut dan belakang, lelehan yang tidak normal, tromboembolisme, komplikasi saluran kencing, dan juga masalah kesihatan psikologi dan mental seperti kemurungan selepas bersalin. Ibu-ibu juga mungkin memerlukan sokongan untuk menjalankan penyusuan bayi. Bayi-bayi mempunyai risiko kematian berkaitan dengan jangkitan, asfiksia, dan kelahiran pramatang. Lawatan ke rumah yang dibuat oleh profesional kesihatan atau ahli sokongan kesihatan pada tempoh awal selepas bersalin boleh mencegah masalah kesihatan daripada berlarutan dan membawa kesan ke atas ibu, bayi, dan keluarga mereka. Ulasan ini mengkaji jadual-jadual melawat rumah yang berbeza dalam minggu-minggu berikutan kelahiran bayi.

Kami telah memasukkan 12 kajian yang dijalankan secara rawak dan merangkumi data untuk lebih daripada 11,000 wanita. Beberapa kajian tertumpu kepada pemeriksaan fizikal ibu dan bayi yang baru lahir, manakala yang lain memberi sokongan untuk penyusuan bayi, dan satu kajian telah menyediakan sokongan praktikal dari segi kerja-kerja rumah dan penjagaan anak. Kajian-kajian ini telah dijalankan di negara-negara yang kaya sumber dan juga negara-negara yang sumber rendah di mana wanita yang menerima rawatan biasa mungkin tidak menerima rawatan tambahan selepas bersalin selepas keluar awal dari hospital.

Kajian-kajian ini memberi tumpuan kepada tiga jenis perbandingan: jadual yang banyak lawatan rumah berbanding yang kurang lawatan selepas bersalin (lima kajian), jadual lawatan yang terdapat dalam model penjagaan yang berbeza (tiga kajian), dan penjalanan pemeriksaan selepas bersalin di rumah berbanding dengan di hospital (empat kajian). Kecuali dua kajian, semua kajian lain yang termasuk dalam ulasan ini mempunyai penjagaan selepas bersalin di rumah yang diberikan oleh penjaga kesihatan profesional. Kebanyakan data hasil kajian hanya diperolehi daripada satu atau dua kajian dan keputusan keseluruhannya adalah tidak konsisten.

Tidak ada bukti bahawa lawatan ke rumah boleh dikaitkan dengan pengurangan kematian bayi baru lahir atau masalah kesihatan yang serius untuk ibu-ibu. Kesihatan fizikal dan psikologikal wanita tidak bertambah baik meskipun jadual lawatan rumah yang lebih intensif diberikan walaupun salah satu kajian telah menunjukkan bahawa penjagaan yang lebih individu boleh meningkatkan kesihatan mental wanita. Secara keseluruhannya, bayi lebih kurang berkemungkinan untuk memerlukan penjagaan perubatan kecemasan jika ibu mereka menerima lawatan ke rumah yang lebih selepas bersalin. Lebih banyak lawatan rumah mungkin telah menggalakkan lebih ramai wanita untuk menyusukan bayi mereka secara eksklusif. Hasil kajian yang berbeza yang dilaporkan dalam kajian yang berbeza, cara hasil kajian diukur, dan variasi yang besar dalam intervensi dan syarat-syarat kawalan dalam kajian yang berbeza telah menjadi batasan bagi ulasan ini. Kajian adalah dari kualiti yang berbeza disebabkan oleh risiko bias.

Lebih banyak penyelidikan diperlukan sebelum mana-mana jadual penjagaan selepas bersalin boleh disyorkan

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Teng Xiu Xin (Penang Medical College). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi xiuxin_c2017@ms.pmc.edu.my

Tools
Information
Share/Save