Balutan yang menggunakan tekanan negatif untuk luka pembedahan tertutup

Mesej utama

Terapi luka tekanan negatif (NPWT) mungkin mengakibatkan kurang jangkitan pembedahan (SSI) daripada balutan standard kepada orang yang mempunyai luka tertutup selepas pembedahan.

NPWT mungkin tidak berbeza kepada orang yang mengalami rekahan luka (dehiscence) selepas pembedahan dan mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada bilangan orang yang mati.

NPWT boleh meningkatkan bilangan orang dengan kulit melepuh selepas pembedahan tetapi mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada dapatan lain.

Keberkesanan kos NPWT dan sejauh mana kami yakin tentang perkara ini bergantung pada jenis pembedahan.

Apakah penyembuhan luka pembedahan dengan penutupan primer?

Penyembuhan luka pembedahan dengan penutupan primer ialah hirisan yang dibuat secara pembedahan di mana bahagian tepi disatukan, biasanya dengan menggunakan jahitan atau staples. Kebanyakan luka pembedahan sembuh dengan cara ini. Komplikasi pembedahan yang berpotensi adalah SSI, jangkitan di luka pembedahan. Peratusan orang yang mengalami SSI selepas pembedahan boleh mencapai 40%. SSI boleh menyebabkan kesakitan dan ketidakselesaan, serta meningkatkan tempoh tinggal di hospital dan kos rawatan.

Apakah yang kami ingin tahu?

NPWT adalah balutan luka yang disambung dengan pam vakum yang menyedut cecair keluar dari luka. Keadaan ini dapat membantu penyembuhan luka dan mengurangkan risiko jangkitan. Kami ingin mengetahui sama ada NPWT lebih baik berbanding balutan luka standard (biasanya kain kasa dan pita) untuk merawat orang yang menjalani pembedahan dan mempunyai luka yang telah ditutup. Kami berminat dengan komplikasi termasuk SSI; rekahan luka (dehiscence) dan kematian atas sebarang sebab. Kami juga melihat beberapa dapatan lain termasuk keperluan untuk pembedahan lain, keperluan untuk dimasukkan ke hospital semula, kesakitan, kualiti hidup, serta beberapa jenis komplikasi tertentu (hematoma (pengumpulan darah di bawah kulit), seroma (pengumpulan cecair jernih di bawah kulit), lepuh kulit).

Kami juga ingin mengetahui sama ada NPWT kos efektif untuk merawat orang yang mengalami luka pembedahan tertutup.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana rawatan yang diterima adalah secara rawak). Jenis kajian begini memberi bukti yang paling kebolehpercayaan tentang kesan rawatan. Kami mencari kajian yang membandingkan sebarang jenis NPWT dengan balutan standard kepada orang yang telah menjalani pembedahan dan mempunyai luka yang telah ditutup. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti.

Apakah yang kami temui?

Kami menemukan 62 kajian yang membandingkan NPWT dengan balutan standard dan melihat komplikasi pembedahan. Pelbagai sistem NPWT digunakan. Sebanyak 13,340 orang dimasukkan dalam ulasan ini. Pelbagai jenis pembedahan dimasukkan seperti pembedahan lutut dan pinggul, pembedahan Caesarean, pembedahan untuk patah tulang dan pembedahan perut. Terdapat lebih ramai wanita daripada lelaki dalam ulasan kerana beberapa kajian besar melibatkan wanita yang menjalani pembedahan Caesarean. Kebanyakan orang yang termasuk dalam ulasan ini tinggal di Amerika Utara, Eropah atau Australasia.

Sebelas kajian (6384 orang) melaporkan tentang risiko kematian dan mendapati risiko yang lebih rendah dengan NPWT berbanding balutan standard tetapi ini tidak jelas. Empat puluh empat kajian (11,403 orang) melihat SSI telah digabungkan, dan mendapati bahawa NPWT mungkin mengurangkan risiko SSI berbanding balutan standard. Dua puluh tiga kajian (8724 orang) mendapati bahawa terdapat sedikit atau tiada perbezaan pada rekahan luka antara NPWT dan balutan standard. Bagi kebanyakan hasil lain, bukti menunjukkan bahawa mungkin tidak terdapat perbezaan yang jelas antara rawatan, atau kami tidak pasti tentang kesan sebenar rawatan. Pengecualian adalah kulit melepuh di mana NPWT boleh meningkatkan orang yang mengalami ini selepas pembedahan.

Enam kajian keberkesanan kos telah dimasukkan dalam ulasan. Kajian-kajian ini melihat wanita yang pernah menjalani pembedahan Caesarean, orang yang mengalami patah tulang anggota bawah, pembedahan lutut dan pinggul, pembedahan vaskular dan pembedahan jantung. Semua kajian ini menggunakan maklumat klinikal daripada kajian yang dimasukkan dalam ulasan ini. NPWT mungkin menjimatkan kos untuk luka pembedahan Caesarean terhadap wanita obes dan mungkin tidak menjimatkan kos untuk luka pembedahan patah tulang tetapi kami kurang pasti tentang keberkesanan kosnya dalam jenis pembedahan lain.

Apa yang membataskan keyakinan kami terhadap bukti?

Keyakinan kami terhadap bukti terhad disebabkan alasan berbeza untuk dapatan berbeza. Memandangkan bilangan kecil orang yang mati, keputusan untuk kematian mungkin berubah dengan lebih banyak bukti. Bagi SSI, kira-kira separuh orang dalam kajian menggunakan kaedah yang mungkin menimbulkan ralat. Untuk rekahan luka dan kebanyakan dapatan lain, keyakinan kami berkurangan dengan alsan-alasan ini. Untuk kulit melepuh, keyakinan kami dikurangkan disebabkan perbezaan antara kajian serta kaedah kajian.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Ulasan ini adalah terkini sehingga Januari 2021.

Nota terjemahan: 

Dikemaskini oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal (PPM). Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information