Soalan ulasan
Adakah penggunaan surfaktan eksogen (bahan yang diperbuat daripada lipid dan protein yang dihasilkan oleh paru-paru) pada bayi dan kanak-kanak dengan bronkiolitis, yang memerlukan ventilasi mekanikal, mengurangkan kadar kematian dan tempoh ventilasi mekanikal?
Latar belakang
Bronkiolitis (jangkitan di saluran udara kecil dalam paru-paru) adalah salah satu punca yang paling kerap mengakibatkan kegagalan pernafasan pada bayi. Tiada pilihan rawatan yang ditetapkan untuk bronkiolitis. Surfaktan berkemungkinan berguna dalam rawatan bronkiolitis kerana kesan yang baik pada mekanik paru-paru. Kami ingin menilai keberkesanan surfaktan eksogen dalam mengurangkan kematian dan tempoh ventilasi pada bayi dan kanak-kanak dengan bronkiolitis, yang memerlukan ventilasi mekanikal.
Ciri-ciri kajian
Bukti adalah terkini sehingga Jun 2015. Tiga kajian kecil rawak terkawal (RCT) melibatkan 79 peserta telah dimasukkan ke dalam ulasan ini. Semua kajian menyertakan kanak-kanak yang berumur kurang daripada 2.5 tahun dengan diagnosis bronkiolitis yang memerlukan ventilasi mekanikal. Dua kajian tidak memasukkan plasebo (bahan yang tidak mempunyai kesan aktif) sebagai perbandingan. Tiada kajian yang disertakan dalam ulasan ini menyediakan sumber dana.
Keputusan utama
Dua daripada kajian yang dimasukkan melaporkan tiada kematian. Penggunaan surfaktan pada bayi dan kanak-kanak yang diventilasi secara mekanikal disebabkan oleh bronkiolitis tidak mengurangkan tempoh ventilasi mekanikal. Walau bagaimanapun, intervensi ini mengurangkan tempoh tinggal di unit rawatan rapi dan mempunyai kesan yang baik terhadap pengoksigenan dan penyingkiran karbon dioksida. Tiada komplikasi dapat dikenalpasti dalam ketiga-tiga kajian yang dimasukkan.
Kualiti bukti
Tahap bukti untuk tempoh ventilasi mekanikal, tempoh tinggal di unit rawatan rapi, parameter pengoksigenan, dan parameter karbon dioksida adalah pada kualiti yang sederhana. Bilangan kajian yang terhad dengan sedikit jumlah peserta adalah sebab kepada kualiti yang sederhana, dan merupakan batasan untuk ulasan ini. Terdapat keperluan untuk kajian yang lebih besar bagi menetapkan sebarang faedah surfaktan untuk bronkiolitis dalam bayi dan kanak-kanak yang sakit kritikal.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Fazreena Eleena Binti Tuah (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).