Ubatan yang bertujuan untuk mencegah kehilangan protein atau albumin melalui air kencing dalam kalangan orang dengan penyakit sel sabit.

Terjemahan ini tidak dikemas kini. Sila klik di sini untuk melihat versi Bahasa Inggeris terbaru Ulasan.

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti keberkesanan ubatan yang bertujuaan untuk mencegah kehilangan protein atau albumin melalui air kencing dalam kalangan orang dengan penyakit sel sabit.

Latar belakang

Penyakit sel sabit ialah sejenis gangguan yang diwarisi yang sering membawa kepada kerosakan buah pinggang. Paras protein atau albumin yang tinggi di dalam air kencing adalah petunjuk yang kuat ke arah kegagalan buah pinggang. Adalah menjadi amalan biasa untuk memberi perencat enzim penukaran-angiotensin untuk mengurangkan paras protein atau albumin di dalam air kencing, lantas melindungi buah pinggang daripada kerosakan. Walau bagaimana pun, sedikit yang diketahui tentang keberkesanan dan keselamatannya dalam kalangan orang dengan penyakit sel sabit.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga: 03 Jun 2015

Ciri kajian

Satu kajian (22 orang peserta dewasa) dimasukkan dalam ulasan Para peserta dengan penyakit sel sabit dengan proteinuria atau mikroalbuminuria telah dipilih secara rawak untuk dirawat selama 6 bulan dengan captopril (sejenis perencat enzim penukaran-angiotensin) atau plasebo (ubat tiruan tanpa ubat aktif)

Keputusan utama

Keputusan kajian kecil ini tidak meyakinkan, dengan perubahan kecil analisis yang menjurus kepada rumusan-rumusan kajian yang berbeza. Kajian ini tidak menunjukkan bahawa perencat enzim penukaran-angiotensin boleh menurunkan paras protein atau albumin di dalam air kencing. Paras kreatinin dan kalium dalam darah dilaporkan sebagai tidak berubah sepanjang kajian. Tiada catatan tentang peristiwa buruk yang serius, walaupun kemungkinan penyebab penurunan tekanan darah perlu ditekankan. Lebih banyak kajian jangka panjang melibatkan banyak pusat dan lebih ramai peserta diperlukan.

Kualiti bukti

Secara keseluruhan, kajian telah dijalankan dengan baik walaupun kaedah sebenar yang diguna untuk menetapkan peserta dalam kumpulan rawatan tidak dilaporkan, dan sama ada dirahsiakan kumpulan yang telah ditetapkan untuk mereka.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nor Akma Binti Mat Junoh (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi norakmayunus@usm.my