Satu, dua atau tiga kali seminggu suplemen besi untuk menambahbaik kesihatan dan pertumbuhan dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun

Kira-kira 600 juta kanak-kanak prasekolah dan bersekolah di seluruh dunia adalah anemia. Ia dianggarkan bahawa separuh daripada kes ini adalah kerana kekurangan besi. Anemia kekurangan zat besi semasa zaman kanak-kanak boleh melambatkan pertumbuhan, mengurangkan perkembangan motor dan otak, dan meningkatkan penyakit dan kematian. Sekiranya anemia tidak dirawat dengan segera, masalah-masalah ini mungkin berterus dalam kehidupan kemudian. Pengambilan suplemen yang mengandungi besi (kadang-kala dicampurkan dengan asid folik dan vitamin dan mineral lain) setiap hari telah menunjukkan peningkatan pada kesihatan kanak-kanak tetapi penggunaannya terhad kerana suplemen boleh menghasilkan kesan-kesan sampingan seperti loya, sembelit atau pewarnaan pada gigi. Ia telah dicadangkan bahawa pengambilan besi satu, dua atau tiga kali seminggu (dikenali sebagai suplemen 'berselang') boleh mengurangkan kesan-kesan sampingan ini dan lebih mudah diingat, dan juga menggalakkan kanak-kanak untuk terus mengambil suplemen besi.

Kami telah menganalisa 33 kajian yang melibatkan 13,314 kanak-kanak (49% perempuan) dari 20 negara di Amerika Latin, Afrika dan Asia untuk menilai kesan suplemen besi yang berselang, bersendirian atau dalam kombinasi dengan vitamin dan mineral lain, ke atas hasil pemakanan dan pertumbuhan kanak-kanak dari lahir hingga usia 12 tahun berbanding dengan plasebo, tiada intervensi atau suplemen harian.

Kualiti kajian-kajian adalah bercampur. Secara keseluruhannya, hasil ulasan ini telah menunjukkan bahawa pemberian suplemen besi sahaja kepada kanak-kanak atau dalam kombinasi dengan vitamin dan mineral lain satu, dua atau tiga kali seminggu boleh mengurangkan risiko mereka mendapat anemia berbanding dengan kanak-kanak yang tidak menerima suplemen besi atau plasebo. Pemberian suplemen besi secara berselang kepada kanak-kanak adalah berkesan seperti suplemen harian untuk meningkatkan tahap hemoglobin dan ferritin, walaupun kanak-kanak yang menerima suplemen besi berselang mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat anemia.

Tujuan kami adalah untuk mengkaji kesan-kesan pengambilan suplemen berselang dalam penyakit, kematian, prestasi dalam sekolah dan secara fizikal serta kesan sampingan yang lain, tetapi maklumat yang terdapat adalah tidak mencukupi untuk membuat kesimpulan yang kukuh.

Secara ringkasnya, suplemen besi berselang dapat meningkatkan tahap kepekatan hemoglobin dan mengurangkan risiko anemia atau kekurangan besi dalam kanak-kanak kurang daripada usia 12 tahun berbanding dengan plasebo atau tiada intervensi, tetapi ia adalah kurang berkesan berbanding dengan suplemen harian dalam mencegah atau mengawal anemia. Suplemen berselang boleh menjadi intervensi kesihatan awam yang berdaya maju dalam seting di mana suplemen harian telah gagal atau belum dilaksanakan. Walau bagaimanapun, maklumat kematian, morbiditi, hasil pertumbuhan dan kesan sampingan masih kurang.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi peiyee95@hotmail.com.

Tools
Information