Senaman untuk wanita hamil bagi mengelakkan kencing manis semasa mengandung

Setiap tahun, sejumlah besar wanita hamil di seluruh dunia menghidapi kencing manis semasa mengandung (GDM), yang ditakrifkan sebagai tiada toleransi glukosa atau kepekatan glukosa dalam darah yang tinggi (hiperglisemia) dengan permulaan atau pertama kali dikenalpasti adalah semasa kehamilan. Semasa kehamilan normal, keberkesanan insulin berkurangan dalam memindahkan glukosa daripada aliran darah ke tisu-tisu ibu untuk memastikan bekalan nutrien yang mencukupi kepada bayi. RIntangan insulin semakin meningkat dengan pertambahan minggu kehamilan dan GDM berlaku apabila seorang ibu tidak merembeskan insulin yang mencukupi bagi melawan rintangan tersebut. Wanita yang menghidapi GDM mempunyai risiko mendapat diabetes jenis 2 pada masa akan datang dan bayi mereka berisiko tinggi mendapat perkara yang tidak diingini termasuklah saiz bayi yang lebih besar daripada umur gestasi, mempunyai berat kelahiran sekurang-kurangnya 4000 gram dan trauma semasa kelahiran. Faktor-faktor risiko yang boleh diubah suai untuk GDM termasuklah berat badan berlebihan atau obes; kurang aktiviti fizikal atau gaya hidup tidak aktif; diet rendah serat dan mengandungi kadar gula yang tinggi dan sindrom ovari polisistik. Kajian ini bertujuan untuk menilai kesan senaman fizikal untuk wanita hamil dalam mencegah tiada toleransi glukosa atau GDM berdasarkan pada bukti terhad daripada lima kajian rawak terkawal. Dua kajian telah melibatkan wanita-wanita obes. Kajian-kajian tersebut menyediakan data daripada 922 wanita dan bayi mereka dan risiko berat sebelah adalah sederhana. Program-program bersenam termasuk senaman berseorangan dengan nasihat yang lazim, sesi latihan berkumpulan yang diselia secara mingguan atau berbasikal pegun di rumah, sama ada diselia atau tanpa seliaan, tiada kesan jelas pada pencegahan GDM (tiga kajian dengan 826 wanita disaring ketika usia kandungan 18 hingga 36 minggu), atau meningkatkan sensitiviti insulin (lima kajian) berbanding penjagaan antenatal standard bersama rutin harian. Berdasarkan kepada data yang terhad ini, tiada bukti yang kukuh untuk memberi panduan kepada pengamalan. Kajian-kajian rawak yang direka dengan baik dan bersampel besar adalah diperlukan. Beberapa kajian sebagaimana tersebut sedang dijalankan. Kami telah mengenal pasti tujuh kajian lain yang sedang dijalankan dan kami akan mempertimbangkan untuk melibatkan kajian-kajian ini dalam kemas kini yang seterusnya.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Fairuz Fadzilah Rahim (Penang Medical College). Disunting oleh Mohd Boniami Yazid (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini, sila hubungi fairuzfr@yahoo.com.

Tools
Information
Share/Save