Persenyawaan in vitro (IVF) menjelaskan teknologi reproduktif bantuan (ART) di mana seorang wanita menjalani stimulasi ovari, pembedahan pengutipan telur, persenyawaan telur di luar badan dan akhirnya pemindahan embrio yang terhasil ke dalam rahim melalui prosedur pemindahan embrio (ET). Semasa ET, embrio dimasukkan melalui serviks dengan menggunakan kateter. Banyak pemboleh ubah mempengaruhi peluang kehamilan selepas ET, termasuk kualiti embrio, faktor rahim dan teknik pemindahan embrio. Bilangan bakteria dan organisma lain yang tinggi di dalam saluran genital atas mempunyai kesan yang memudaratkan terhadap kadar kehamilan selepas ET. Pemberian antibiotik sebelum ET boleh mengurangkan pertumbuhan organisma-organisma ini dan menambahbaik hasil IVF. Ulasan ini mempertimbangkan persoalan sama ada antibiotik yang diberi pada bila-bila masa sebelum ET mempengaruhi kadar kehamilan dan hasil-hasil penting lain IVF.
Dalam satu kajian tunggal yang membincangkan persoalan ini, penggunaan rejim antibiotik amoxycillin dan clavulanic acid tiada kesan ke atas kadar kehamilan klinikal walaupun menunjukkan pengurangan pengkolonian saluran genital atas. Kesan ke atas kadar kelahiran hidup tidak diketahui.
Penemuan ulasan ini tidak menyokong penggunaan rejim amoxycillin dan clavulanic acid sebelum ET dengan tujuan menambahbaik kejayaan IVF. Kesan rejim antibiotik alternatif terhadap hasil IVF masih tidak diketahui dan memerlukan penyelidikan lanjutan.
Diterjemahkan oleh Nik Hazlina Nik Hussain (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi hazlinakck@usm.my