Sumatriptan dengan naproxen untuk serangan migrain akut pada dewasa

Kesimpulannya

Kajian mendapati gabungan sumatriptan dengan naproxen berguna untuk merawat serangan migrain. Ia tidaklah lebih baik menggunakan sumatriptan sahaja, tetapi lebih baik daripada menggunakan naproxen sahaja. Serangan lebih berjaya dirawat apabila ubat diambil awal, ketika sakit ringan.

Latar belakang

Migrain adalah keadaan yang kompleks dengan pelbagai gejala. Ia menjejaskan wanita dua hingga tiga kali ganda lebih daripada lelaki, dan paling kerap pada umur 30 hingga 50 tahun. Bagi ramai orang, ciri utama adalah sakit kepala yang menyakitkan. Gejala lain termasuk penglihatan yang terganggu; sensitiviti kepada cahaya, bunyi, dan bau; berasa sakit; dan muntah.

Kedua-dua ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs) dan kelas ubat triptan digunakan untuk merawat sakit kepala migrain. Sorotan ini mengkaji sejauh mana naproxen (NSAID) dan sumatriptan (triptan) berfungsi apabila digabungkan. Tablet kombinasi tidak terdapat di kebanyakan negara, tetapi tablet berasingan ada secara meluas dan boleh diambil bersama-sama.

Ciri-ciri kajian

Pada 28 Oktober 2015, penyelidik mencari kajian klinikal menggunakan sumatriptan dengan naproxen untuk merawat sakit kepala migrain pada dewasa. Mereka diberi sama ada kombinasi sumatriptan dan naproxen, sumatriptan sahaja, naproxen sahaja, atau rawatan plasebo. Mereka tidak mengetahui rawatan yang diambil, dan tidak juga petugas kesihatan yang merawat mereka.

Keputusan utama

Penyelidik mendapati 13 kajian, di mana 12 (dengan kira-kira 9300 orang) memberikan maklumat mengenai cara rawatan gabungan berfungsi.

Gabungan sumatriptan dengan naproxen adalah lebih baik daripada plasebo untuk melegakan serangan migrain akut pada dewasa. Apabila sakit kepala berintensiti ringan bermula, 5 dalam 10 (50%) orang yang dirawat dengan kombinasi itu lega sakit pada dua jam berbanding kira-kira 2 dalam 10 (18%) dengan plasebo. Hampir 6 dalam 10 (58%) orang dengan kesakitan sederhana atau teruk yang dirawat dengan kombinasi melegakan kesakitan kepada ringan atau tiada pada dua jam, berbanding dengan 3 dalam 10 (27%) dengan plasebo. Gabungan itu juga lebih baik daripada hanya salah satu ubat pada dos yang sama yang diberikan kepada mereka ini. Keputusan adalah 5 dalam 10 (52%) orang dengan sumatriptan sahaja atau sekitar 4 dalam 10 (44%) dengan naproxen sahaja.

Gabungan ini lebih baik daripada plasebo atau hanya salah satu ubat untuk melegakan gejala migrain lain (loya, sensitiviti kepada cahaya atau bunyi) dan kehilangan keupayaan untuk berfungsi secara normal. Kesan sampingan pening, kesemutan atau pembakaran kulit, rasa mengantuk, loya, senak (dispepsia), mulut kering, dan ketidakselesaan dada adalah lebih kerap dengan sumatriptan (bersendirian atau digabungkan) daripada dengan plasebo atau naproxen. Kesan sampingan secara umumnya ringan hingga sederhana dan jarang menyebabkan penarikan diri dari kajian.

Kualiti bukti

Kajian tersebut telah dijalankan dengan standard yang tinggi dan secara amnya cukup besar untuk memberikan hasil yang boleh dipercayai, supaya kebanyakan keputusan untuk keberkesanannya adalah berkualiti tinggi. Keputusan untuk kesan sampingan telah diturunkan kepada kualiti sederhana kerana kesan sampingan yang kurang.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini, sila hubungi hayatikk@usm.my

Tools
Information
Share/Save