Terapi antibiotik untuk mencegah jangkitan dalam kalangan orang dengan strok akut

Soalan ulasan

Adakah terapi antibiotik pencegahan dalam kalangan orang dengan strok akut mengurangkan risiko kebergantungan dan kematian semasa susulan, dan adakah ia mengurangkan kadar jangkitan?

Latar belakang

Strok adalah punca utama ketakupayaan di negara-negara berpendapatan tinggi, dan merupakan punca kematian kedua di seluruh dunia. Ia sering diikuti oleh komplikasi, terutama jangkitan, yang berlaku dalam kira-kira 30% daripada orang yang telah mengalami strok. Kejadian jangkitan mungkin menjejaskan hasil klinikal selepas strok. Terapi antibiotik pencegahan mungkin mengurangkan bilangan jangkitan, dengan itu memperbaiki hasil strok.

Tarikh carian

Ulasan ini adalah terkini sehingga Mei 2017.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan lapan kajian tentang terapi antibiotik pencegahan, dengan sejumlah 4488 orang dengan strok: 2230 peserta dirawak kepada terapi antibiotik pencegahan, dan 2258 kepada kawalan. Perata umur peserta dalam kumpulan antibiotik pencegahan adalah 74.2 tahun, dan dalam kumpulan kawalan ialah 74.8 tahun. Di dalam kedua-dua kumpulan, peratusan lelaki adalah 52%. Intervensi kajian berbeza di dalam kesemua lapan kajian; di dalam dua kajian, penyelidik memilih jenis antibiotik mengikut dasar antibiotik tempatan, dengan tujuan merawat pneumonia.

Keputusan utama

Rawatan antibiotik pencegahan tidak mengurangkan risiko kebergantungan atau kematian.

Walau bagaimanapun, terapi antibiotik pencegahan mengurangkan dengan signifikan kejadian jangkitan 'keseluruhan' dari 26% kepada 19%. Mengenai jenis jangkitan, penemuan adalah sangat signifikan bagi jangkitan saluran kencing (4% berbanding 10%) tetapi tidak menunjukkan kesan ke atas pneumonia (10% berbanding 11%).

Tiada kesan sampingan major terapi antibiotik pencegahan dilaporkan.

Kualiti bukti

Ia telah memungkinkan kesimpulan ‘keseluruhan’ ke atas kesan akhir terapi antibiotik pencegahan dalam strok; waau bagaimanapun, keputusan samada untuk menggunakan terapi antibiotik pencegahan dalam strok akut perlu dicapai dengan teliti. Kajian-kajian adalah pelbagai, dan walaupun bilangan peserta adalah besar, keputusan dari keseluruhan sejumlah lapan kajian adalah terhad. Di dalam dua kajian tersebut, risiko bias dianggap tinggi bagi tiga daripada enam kriteria. Secara keseluruhan, para pengulas menganggap kualiti bukti bagi hasil utama ulasan ini - melihat pada 'sebarang' terapi antibiotik pencegahan, dalam 'sebarang’ dos, pada sebarang tempoh rawatan - sebagai tinggi hingga sederhana.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information
Share/Save