Kafein untuk mencegah kecederaan and kesilapan dalam kalangan pekerja syif

Keadaan mengantuk mengakibatkan kemeresotan prestasi and dikaitkan dengan peningkatan risiko kesilapan dan kecederaan. Bekerja secara syif adalah punca utama rasa mengantuk, kerana ia memerlukan para pekerja berjaga pada waktu yang berbeza daripada masa yang ditentukan oleh "jam tubuh" mereka. Ini boleh menjejaskan keselamatan diri mereka dan orang lain. Keadaan mengantuk adalah satu risiko untuk berlaku sesuatu peristiwa seperti kemalangan lalu lintas, kecederaan pekerjaan dan kesilapan dalam perubatan.

Mengenalpasti intervensi yang dapat mengurangkan risiko kesilapan dan kecederaan adalah penting untuk memastikan mereka yang perlu bekerja sepanjang malam dapat bekerja secara selamat. Kafein telah dicadangkan sebagai salah satu cara intervensi. Bagaimanapun keberkesanannya pada para pekerja tidak diketahui.

Untuk ulasan sistematik ini, para penulis telah mencari kajian-kajian rawak terkawal yang mengkaji kesan kafein terhadap kecederaan, kesilapan dan prestasi kognitif di kalangan pekerja syif. Mereka mendapati 13 kajian: tiada di antaranya mengkaji kesan ke atas kecederaan, dua di antaranya mengukur kesilapan, manakala kajian-kajian yang lain menggunakan ujian neuropsikologi untuk menilai prestasi kognitif.

Keputusan dariapada kajian-kajian tersebut menunjukkan bahawa jika dibandingkan dengan tiada sebarang intervensi, kafein dapat mengurangkan jumlah kesilapan serta meningkatkan prestasi kognitif dalam pekerja syif. Tiada perbezaan dapat dikesan daripada kajian yang membandingkan kafein dengan kaedah intervensi yang lain (seperti tidur yang pendek, cahaya terang dan penggunaan modafinil). Walaubagaimanapun, disebabkan beberapa kelemahan dari segi metodologi pada kajian, keputusannya perlulah ditafsir secara berhati-hati.

Para penulis ulasan sistematik menyimpulkan bahawa kafein mungkin merupakan intervensi yang berkesan untuk meningkatkan prestasi dalam kalangan pekerja syif. Bagaimanapun, tiada kajian yang membolehkan mereka boleh menilai kesannya terhadap kecederaan. Berdasarkan bukti semasa, para penulis menilai bahawa tidak ada sebab untuk pekerja syif yang sihat, yang telah pun menggunakan kafein pada tahap yang disyorkan untuk meningkatkan kecerdasan mereka, untuk berhenti berbuat demikian. Mereka turut mencadangkan untuk kajian selanjutnya menilai kesan kafein terhadap langkah-langkah tindakan lain.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syafiqa M Saleh. Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi syafiqa.saleh@gmail.com.

Tools
Information