Terapi cermin bagi penambahbaikan pergerakan selepas strok

Soalan ulasan
Adakah terapi cermin menambahbaik pergerakan, prestasi aktiviti harian, kesakitan, dan kekurangan perhatian kepada dan kesedaran medan penglihatan yang terjejas (pengabaian ‘visuospatial’) selepas strok.

Latarbelakang
Lumpuh tangan atau kaki adalah lazim selepas strok dan kerap menyebabkan masalah dengan aktiviti-aktiviti harian seperti berjalan, memakai baju, atau makan. Terapi cermin (MT) merupakan terapi rehabilitasi di mana cermin diletakkan antara tangan atau kaki supaya imej pergerakan anggota yang tidak terjejas memberikan ilusi pergerakan biasa di anggota yang terjejas. Dengan cara ini, bahagian otak yang berlainan untuk pergerakan, sensasi, dan kesakitan dirangsangkan. Bagaimanapun, mekanisme cara tepat terapi cermin masih tidak jelas. Kami menjalankan carian literatur dalam pelbagai pengkalan data dan mengekstrak data kajian-kajian yang relevan.

Tarikh carian
Ulasan ini mengenalpasti kajian-kajian sehingga 16 Ogos 2017.

Ciri-ciri kajian
Kami menemui 62 kajian-kajian yang relevan, daripadanya 57 peserta telah ditempatkan secara rawak untuk menerima samada MT atau terapi kawalan (percubaan rawak terkawal) dan lima memberikan kedua-dua terapi kepada kesemua peserta, tetapi dalam turutan yang rawak (kajian-kajian silang). Kajian melibatkan sejumlah 1982 peserta dengan purata umur 59 tahun (30 hingga 73 tahun) selepas strok. Terapi cermin diberikan tiga hingga tujuh kali seminggu, antara 15 dan 60 minit setiap sesi selama dua hingga lapan minggu (secara purata lima kali seminggu, 30 minit setiap sesi untuk empat minggu).

Keputusan utama
Di akhir rawatan, terapi cermin menambahbaik sederhana pergerakan kaki dan tangan atas dan bawah yang terjejas dan keupayaan untuk melakukan aktiviti harian bagi pesakit kurang dan lebih enam bulan selepas strok. Terapi cermin mengurangkan kesakitan selepas strok, tetapi kebanyakannya bagi pesakit yang mempunyai sindrom kesakitan bahagian tertentu (‘regional’) yang kompleks. Kami tidak menemui kesan jelas untuk pengabaian ‘visuospatial’. Kesan-kesan yang bermanfaat ke atas pergerakan kekal sehingga enam bulan, tetapi tidak dalam kesemua kumpulan kajian. Tiada kesan sampingan yang tidak diingini dilaporkan.

Kualiti bukti
Kajian memberikan bukti yang dipercayai berkualiti sederhana bahawa MT menambahbaik pergerakan (fungsi motor, kerosakan motor) dan prestasi aktiviti harian. Bagaimanapun, terdapat hanya kebolehpercayaan yang rendah bahawa MT mengurangkan kesakitan dan pengabaian ‘visuospatial’. Ini mungkin disebabkan oleh bilangan kajian yang kecil. Penyelidikan lanjutan diperlukan, dengan kajian berkaedah mantap yang lebih besar.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information