Latihan kemahiran sosial untuk kanak-kanak berusia di antara 5 dan 18 tahun dengan kecelaruan hiperaktif kurang daya tumpuan (ADHD)

Soalan ulasan

Apakah manfaat-manfaat dan mudaratan latihan kemahiran sosial untuk kanak-kanak dan remaja dengan kecelaruan hiperaktif kurang daya tumpuan (ADHD)?

Latar belakang

Kanak-kanak dan remaja dengan ADHD mengalami hiperaktiviti, impulsif, masalah tumpuan, dan kesukaran interaksi sosial. Latihan kemahiran sosial untuk ADHD bertujuan untuk memperbaik dan mengekalkan interaksi sosial dan mencegah kesukaran interpersonal. Program-program lebih menumpu kepada penyelesaian masalah, kawalan emosi, dan memperbaiki komunikasi lisan dan bukan lisan. Kami mengkaji manfaat dan mudarat latihan kemahiran sosial terhadap hasil berikut: kemahiran sosial, kecekapan emosi, tingkah laku am, gejala-gejala ADHD dan prestasi di sekolah.

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati 25 kajian rawak terkawal (kajian di mana peserta-peserta dengan ADHD telah diperuntukkan secara rawak kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan) melibatkan seramai 2690 peserta. Kajian-kajian tersebut berlangsung di antara lima minggu dan dua tahun. Latihan kemahiran sosial ini secara am menumpu kepada mengajar kanak-kanak cara ‘membaca’ isyarat halus dalam interaksi sosial, seperti belajar menunggu giliran mereka, mengetahui bila untuk mengalih topik semasa perbualan dan boleh mengenal pasti ekspresi emosi orang lain. Latihan kemahiran sosial sering terdiri daripada lakon peranan, latihan dan permainan serta kerja rumah. Kanak-kanak dalam kumpulan kawalan tidak menerima sebarang intervensi atau diletakkan dalam senarai menunggu.

Keputusan-keputusan utama

Kami mendapati tiada perbezaan ketara di antara latihan kemahiran sosial berbanding kumpulan kawalan terhadap kemahiran sosial, kecekapan emosi dan tingkah laku am seperti yang dinilai oleh guru-guru. Berbanding dengan kanak-kanak yang tiada latihan kemahiran sosial, guru-guru menilai mereka yang berada dalam kumpulan kemahiran sosial mempunyai kurang gejala ADHD pada akhir rawatan. Walau bagaimanapun, penemuan ini dipersoalkan kerana analisis kami yang lain tidak menyokongnya. Kami mendapati tiada indikasi kesan-kesan mudarat.

Semua kajian bermasalah metodologi seperti terlebih anggaran manfaat dan terkurang anngaran mudarat. Banyak kajian juga sukar untuk dibandingkan kerana melibatkan pelbagai intervensi. Keputusan sesetengah kajian adalah kurang tepat, bermakna agak sukar untuk meyakini keputusan tersebut. Di dalam tujuh kajian, penulis kajian adalah ahli lembaga pengarah syarikat farmaseutikal, telah menerima dana daripada syarikat tersebut, atau telah melaksanakan kajian tentang topik tersebut sebelum ini.

Intepretasi

Kami tidak dapat merumuskan sama ada latihan kemahiran sosial adalah bermanfaat atau tidak untuk kanak-kanak dengan ADHD. Kami perlukan lebih banyak kajian rawak klinikal tentang latihan kemahiran sosial untuk kanak-kanak dan para remaja dengan ADHD dengan jumlah peserta yang cukup dan metodologi yang lebih berkualiti. Bukti asas tentang para remaja adalah sangat lemah. Kami tidak mendapati kesan buruk rawatan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Nur Adila Azman (Ijazah Sarjana Muda Sains Bioperubatan, UIAM). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan tentang terjemahan ini, sila hubungi adilaazman68@gmail.com

Tools
Information