Perencat sistem renin-angiotensin berbanding jenis ubat lain untuk tekanan darah tinggi

Terjemahan ini tidak dikemas kini. Sila klik di sini untuk melihat versi Bahasa Inggeris terbaru Ulasan.

Apakah hipertensi?

Hipertensi adalah keadaan perubatan yang berpanjangan di mana tekanan darah seseorang tinggi. Hipertensi boleh menyumbang kepada masalah kesihatan lain seperti penyakit jantung, strok, dan masalah buah pinggang, dan seterusnya mengurangkan kualiti hidup.

Apa ubat-ubatan yang boleh digunakan untuk merawat hipertensi?

Terdapat beberapa jenis ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat hipertensi. Ini termasuk tiga jenis perencat sistem renin-angiotensin (RAS): perencat enzim penukar angiotensin (ACE), penghalang reseptor angiotensin (ARB) dan perencat renin. Jenis ubat lain termasuk thiazide diuretik, penghalang beta, dan penghalang saluran calcium (CCBs).

Ubat pertama yang seseorang ditetapkan untuk merawat hipertensi dipanggil ubat 'barisan pertama'. Lazimnya, dari masa ke masa, ubat-ubatan lain ditambah untuk ini dalam usaha untuk mengurangkan tekanan darah dalam jangka masa panjang.

Tujuan kajian ini

Penyelidik dari Kolaborasi Cochrane cuba menentukan cara perencat RAS dibandingkan sebagai ubat barisan pertama untuk merawat hipertensi dengan jenis ubat barisan pertama (thiazide diuretik, penghalang beta, CCB, penghalang alfa, atau sistem saraf pusat (CNS) yang aktif ubat) untuk tekanan darah tinggi.

Apakah yang ditemui oleh kajian ini

Penyelidik mencari penulisan perubatan sehingga November 2014 untuk mengenal pasti semua penyelidikan perubatan yang berkaitan. Mereka mengenal pasti sejumlah 42 kajian perubatan yang telah merangkumi 65,733 peserta, dengan purata umur 66 tahun.

Sembilan kajian ini tidak termasuk orang yang mengalami serangan jantung atau strok, tetapi 14 kajian melibatkan mereka jika serangan jantung atau strok telah berlaku lebih daripada tiga atau enam bulan sebelum kajian bermula. Dua belas kajian termasuk peserta diabetes, dan tujuh termasuk orang yang mengalami masalah buah pinggang.

Dua puluh enam daripada 42 kajian telah ditaja oleh syarikat farmaseutikal yang menghasilkan ubat-ubatan yang dikaji. Para penyelidik tidak menyiasat bagaimana ini mungkin mempengaruhi keputusan.

Keputusan penyelidikan menunjukkan bukti berkualiti sederhana bahawa:

1. thiazides menyebabkan kegagalan jantung dan strok kurang daripada perencat RAS;

2. Perencat RAS menyebabkan kegagalan jantung yang kurang tetapi strok yang lebih banyak daripada CCB, namun pengurangan kegagalan jantung adalah jauh lebih besar daripada kenaikan strok.

Keputusan kurang mantap menunjukkan bahawa perencat RAS mengurangkan serangan jantung dan strok berbanding penghalang beta.

Ubat yang berbeza menghasilkan perbezaan kecil dalam kesan terhadap tekanan darah, tetapi ini tidak kelihatan berkaitan dengan jumlah serangan jantung, strok dan masalah buah pinggang.

Lebih banyak kajian diperlukan untuk menguatkan penemuan kajian ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Share/Save