Rawatan perubatan untuk botulisme

Soalan Ulasan

Kami telah menyemak bukti mengenai kesan rawatan perubatan terhadap botulisme manusia.

Latar belakang

Botulisme adalah penyakit serius yang bermula secara tiba-tiba dan mengakibatkan kelumpuhan (ketidakupayaan untuk menggunakan otot). Penyebab botulisme adalah kuman yang dinamakan Clostridium botulinum. Sekiranya penyakit ini tidak dirawat, pengidap botulisme akan mati. Terdapat empat jenis botulisme yang utama: jenis orang dewasa dan bayi di mana usus (usus) dijangkiti; botulisme dari makanan yang tercemar; dan botulisme luka.

Kami telah mencari ujian klinikal rawatan perubatan untuk mana-mana dari empat jenis botulisme tersebut. Kami menilai kesan rawatan terhadap kadar kematian di hospital atas sebarang sebab dalam tempoh empat minggu jangkitan. Kami juga berminat dalam kajian kematian botulisme yang berlaku dalam tempoh 12 minggu, tempoh masa berada di hospital, keperluan ventilator untuk membantu pernafasan (ventilasi mekanikal), makan melalui tiub, dan kesan yang berbahaya dari rawatan yang diterima.

Ciri-ciri kajian

Carian kami terhadap kajian perubatan menunjukkan satu kajian yang berkaitan, iaitu yang terdapat dalam botulisme bayi. Rawatannya adalah satu dos ubat yang terbuat dari protein imun manusia (botulinum immun-globulin intravena yang berasal dari manusia, atau singkatannya BIG-IV). Lima puluh sembilan bayi menerima BIG-IV, dan 63 bayi lagi menerima plasebo (rawatan tidak aktif). Setiap peserta kajian disusuli sepanjang tempoh rawatan mereka. Kajian ini dibiayai oleh Jabatan Perkhidmatan Kesihatan California.

Keputusan utama dan ketepatan bukti

Tiada kematian berlaku pada kedua-dua kumpulan ujian. Bayi yang dirawat dengan BIG-IV, secara purata, telah menghabiskan masa kira-kira tiga minggu kurang di hospital (iaitu 3.1 minggu berbanding 5.7 minggu) daripada bayi yang menerima rawatan tidak aktif, dan menghabiskan masa kira-kira tiga minggu kurang pada ventilator (1.8 minggu berbanding 4.4 minggu) . Purata tempoh makan melalui tiub dalam kumpulan BIG-IV pula adalah lebih daripada enam minggu kurang daripada kumpulan plasebo (iaitu 3.6 berbanding 10 minggu). Risiko kesan berbahaya dari rawatan mungkin lebih minima dengan BIG-IV berbanding rawatan yang tidak aktif. Bukti tersebut kebanyakannya adalah kepastian yang sederhana (kepastian rendah untuk masa yang digunakan untuk ventilator).

Kajian menunjukkan bahawa BIG-IV mungkin memendekkan masa dalam hospital; boleh memendekkan masa yang diperuntukkan untuk ventilator; dan mungkin mengurangkan tempoh makan melalui tiub berbanding plasebo. Sebaliknya, kami tidak menemui bukti terhadap antitoxin botulisme atau rawatan lain untuk botulisme.

Bukti itu adalah terkini sehingga Januari 2018, setelah kami memperbaharui pencarian dan tidak menemukan uji kaji terbaru.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syarifah Amirah Balqis Awang (Lincoln University College). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi syamirahbalqis3@gmail.com

Tools
Information
Share/Save