Adakah perencat PARP memperbaiki survival dalam kalangan wanita dengan kanser ovari dan apakah kesan sampingannya?

Terjemahan ini tidak dikemas kini. Sila klik di sini untuk melihat versi Bahasa Inggeris terbaru Ulasan.

Latar belakang
Ubat kemoterapi konvensional bertindak pada sel-sel yang sedang membahagi dengan merosakkan DNA sel. Memandangkan sel kanser membahagi dengan sangat cepat, ubat-ubatan ini lebih mempengaruhi sel-sel kanser berbanding sel-sel normal. Keupayaan untuk membaiki DNA adalah penting untuk survival sel dan sel-sel normal mempunyai lebih daripada satu sistem membaiki DNA. Walau bagaimanapun, sel-sel kanser sering mempunyai kecacatan dalam laluan-laluan pembaikan DNA yang menyukarkan sel ini untuk pembaikian kendiri. Perencat PARP adalah sejenis ubat baharu yang berfungsi menghalang sel-sel kanser daripada memperbaiki DNA setelah dirosakkan oleh kemoterapi.

Soalan ulasan
Adakah perencat PARP memperbaiki survival dalam kalangan wanita dengan kanser ovari epitelium dan apakah kesan sampingannya?

Keputusan utama
Kami telah mencari literatur dari 1990 sehingga April 2015 dan mendapati empat kajian rawak perencat PARP berbanding rawatan lain atau placebo. Kami juga mendapati empat kajian yang sedang dijalankan. . Empat kajian yang lengkap telah memasukkan 599 wanita dengan kanser ovari epitelium berulang; tiga kajian memasukkan wanita dengan penyakit sensitif terhadap platinum (penyakit kembali selepas lebih 12 bulan sejak rawatan kemoterapi yang terakhir), dan satu kajian memasukkan wanita dengan penyakit rintang platinum dan separa sensitif terhadap platinum (penyakit kembali kurang enam bulan atau antara enam hingga 12 bulan sejak rawatan kemoterapi yang terakhir). Tiga kajian semuanya menguji satu perencat PARP yang dikenali sebagai olaparib dan satu kajian dengan hanya 75 pesakit diuji dengan veliparib. Secara purata, apabila ditambah kepada rawatan konvensional, olaparib memperlahankan progresi penyakit dalam kalangan wanita dengan penyakit yang sensitif platinum berbanding plasebo atau tiada rawatan tambahan, tetapi tidak mengubah masa survival pesakit, walaupun kurang wanita di dalam kajian-kajian tersebut dan kajian-kajian yang lebih besar mungkin akan mengubah hasil ini. Peristiwa-peristiwa buruk untuk sebarang keparahan adalah lazim di dalam kedua-dua kumpulan perencat PARP dan kumpulan kawalan. Walau bagaimanapun, peristiwa buruk yang serius adalah lebih lazim dalam kalangan kumpulan olaparib berbanding kumpulan kawalan apabila diberi sebagai rawatan pengekalan selepas kemoterapi. Peristiwa buruk serius yang paling lazim adalah anemia dan kelesuan. Data untuk veliparib adalah terhad, oleh kerana bilangan wanita yang terlibat adalah rendah, maka kami tidak dapat menunjukkan jika ubat ini mempunyai sebarang kesan terhadap progresi penyakit. Veliparib mempunyai kurang kesan sampingan teruk, tetapi sekali lagi bilangan wanita adalah terlalu kecil untuk membuat kesimpulan yang bermakna.

Kualiti bukti
Kualiti bukti adalah sederhana bagi kajian-kajian yang melihat kesan olaparib, dan anggaran kesan mungkin berubah dengan penyelidikan lanjut. Terdapat bukti berkualiti rendah untuk veliparb, dan kami amat tidak pasti tentang kesannya kepada rawatan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Tan Shing Cheng (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi sctan@ukm.edu.my.