Ubat herba Cina untuk rawatan neuropati periferi kencing manis

Neuropati periferi kencing manis merupakan salah satu komplikasi kencing manis yang paling biasa. Ia adalah bercirikan kehilangan gentian saraf secara progresif yang mendedahkan seseorang kepada masalah bahagian kaki/tangan yang sakit atau yang tidak sensitif, ulser dan amputasi, dan mengakibatkan beban penyakit yang besar dari segi ketidakupayaan untuk bekerja, kualiti hidup dan penggunaan sumber penjagaan kesihatan. Kajian semula ini mengenal pasti sebanyak 49 ujian yang merangkumi 3639 peserta dengan neuropati periferi kencing manis. Sepuluh ujian daripada itu adalah yang baru pada masa kemas kini pertama kajian dilakukan. Kami telah menilai kesan pelbagai formulasi herba (termasuk herba tunggal, ubat-ubatan proprietari Cina, dan campuran herba yang berbeza) untuk merawat orang dengan neuropati periferi kencing manis. Semua ujian klinikal yang telah dikenalpasti telah dijalankan dan diterbitkan di China. Ujian-ujian tersebut melaporkan penambahbaikan gejala global (termasuk penambahbaikan kekebasan atau kesakitan) dan perubahan dalam halaju pengaliran saraf. Keputusan positif yang diterangkan dalam 49 kajian berkualiti rendah mempunyai kepentingan yang boleh dipersoalkan. Terdapat juga pelaporan yang tidak sempurna tentang kesan buruk dalam ujian-ujian yang termasuk. Kebanyakan ujian itu tidak menyebutkan sama ada mereka membuat pantauan untuk kesan buruk. Hanya dua ujian yang melaporkan kesan buruk tetapi salah satu kesan buruk terjadi dalam kumpulan kawalan dalam satu ujian dan dalam satu ujian lagi, ia adalah tidak jelas bahawa kesan buruk terjadi dalam kumpulan yang mana satu. Kesimpulan mengenai keselamatan ubat-ubatan herba oleh itu tidak boleh dibuat daripada kajian ini kerana laporan tidak mencukupi. Kebanyakan ujian tersebut adalah yang berkualiti sangat rendah dari metodologinya dan tafsiran apa-apa penemuan yang positif bagi keberkesanan ubat herba Cina yang termasuk sebagai rawatan untuk neuropati periferi kencing manis perlu dibuat dengan berhati-hati. Berdasarkan kajian sistematik ini, tidak ada sebarang bukti untuk menyokong objektif keberkesanan dan keselamatan ubat-ubatan herba Cina untuk neuropati periferi kencing manis. Tiada ujian yang menggunakan plasebo, dan yang terkawal rawak serta yang direka dengan baik dengan langkah-langkah pencapaian objektif telah dijalankan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Sharon Chang Mei Wern (Taylor’s University). Disunting oleh Sharifah Halimah Jaafar (Regency Specialist Hospital, JB). untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi m.w.chang@hotmail.com

Tools
Information
Share/Save