Intervensi berasaskan komputer secara interaktif untuk penurunan berat badan atau pengekalan berat badan pada orang ramai yang mempunyai berat badan berlebihan atau obes

Berat badan berlebihan dan obesiti merupakan masalah kesihatan yang kerap berlaku dan meningkatkan risiko menghidap beberapa keadaan kesihatan yang serius. Rawatan standard untuk berat badan berlebihan dan obesiti adalah untuk membantu pesakit mengubah diet dan tabiat bersenam. Program rawatan di mana pesakit berinteraksi dengan komputer boleh membantu orang ramai membuat perubahan ini, dan meningkatkan kemampuan mereka untuk menurunkan berat badan dan menghindari masalah berat badan. Kami mencari ujian rawak atau kuasi rawak yang mana intervensi berasaskan komputer secara interaktif dibandingkan dengan tanpa rawatan, rawatan terhad seperti penjagaan biasa atau bahan kertas, atau rawatan peribadi untuk membantu orang ramai mengurangkan berat badan atau menghindari masalah berat badan. Kami merangkumkan 14 kajian penurunan berat badan dengan jumlah peserta seramai 2537, dan empat kajian mengekalkan berat dengan jumlah peserta seramai 1603. Tempoh rawatan adalah dari empat minggu ke 30 bulan. Pada bulan ke enam, intervensi berasaskan komputer membawa kepada penurunan berat badan yang lebih besar berbanding intervensi minima (perbezaan min -1.5 kg; 95% selang keyakinan (CI) -2.1 hingga -0.9; dua percubaan) tetapi kurang daripada rawatan individu (perbezaan min 2.1 kg; 95% CI 0.8 hingga 3.4; satu percubaan). Pada bulan ke enam, intervensi berasaskan komputer lebih baik daripada intervensi minima dalam mengehadkan peningkatan semula berat badan (perbezaan min -0.7 kg; 95% CI -1.2 hingga -0.2; dua percubaan), tetapi tidak lebih tinggi daripada rawatan individu yang jarang berlaku (perbezaan min 0.5 kg; 95% -0.5 hingga 1.6, dua percubaan).

Tiga kajian penurunan berat badan menganggarkan kos intervensi berasaskan komputer berbanding dengan penjagaan biasa, namun dua kajian itu berusia 11 dan 28 tahun, dan anggaran ini mungkin tidak relevan dengan intervensi menggunakan teknologi semasa, sementara kajian ketiga dilakukan dalam kakitangan tentera yang menjalankan tugas aktif, sama ada kos akan sama dalam tetapan lain adalah tidak jelas. Satu kajian penurunan berat badan melaporkan nisbah keberkesanan-kos mingguan untuk penurunan berat badan intervensi individu berbanding intervensi berasaskan komputer sebagai USD 7177 (EUR 5678) setiap pertambahan tahun (80% CI USD 3055 hingga USD 60,291 (EUR 2417) EUR 47,702)). Tidak jelas sama ada ia relevan dengan kajian lain. Tiada maklumat kajian mengenai kualiti hidup berkaitan kesihatan, morbiditi, komplikasi atau kesan buruk.

Berbanding dengan tanpa intervensi atau intervensi minima (risalah, penjagaan biasa), intervensi berasaskan komputer secara interaktif adalah intervensi yang berkesan untuk penurunan berat badan dan pengekalan berat badan. Berbanding intervensi individu, intervensi berasaskan komputer secara interaktif menyebabkan kehilangan berat badan yang lebih kecil dan tahap pengekalan berat badan yang lebih rendah. Walau bagaimanapun, jumlah penurunan berat badan tambahan agak kecil dan bertempoh singkat, menjadikan signifikasi klinikal perbandingan tidak jelas.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Rahimah Zakaria (Universiti Sains Malaysia), Disunting oleh Sharifah Halimah Jaafar (Regency Specialist Hosp Sdn Bhd, JB). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi rahimah@usm.my

Tools
Information