Penjagaan antenatal merupakan antara perkhidmatan penjagaan kesihatan yang terpenting bagi Ibu-ibu hamil di serata dunia. Di kebanyakan negara Barat, penjagaan kesihatan semasa hamil secara tradisinya melibatkan jadual lawatan satu sama satu dengan bidan, pakar obstetrik atau pengamal am (GP) di persekitaran hospital atau klinik. Suatu cara yang berlainan dalam penyediaan khidmat penjagaan ibu hamil melibatkan penerapan model penjagaan secara berkumpulan dan bukannya pendekatan satu-ke-satu. Penjagaan pralahir (antenatal) secara berkumpulan telah dikembangkan di Amerika Syarikat berdasarkan model CenteringPregnancy. Khidmat penjagaan sebegini disediakan oleh bidan atau pakar obstetrik dalam kumpulan yang melibatkan lapan sehingga 12 orang wanita dalam rentang tempoh kehamilan yang hampir sama. Kumpulan ini akan bertemu sebanyak lapan hingga 10 kali semasa waktu kehamilan semasa lawatan pralahir yang lazim, dan setiap sesi berjalan selama 90 hingga 120 minit. Khidmat pehjagaan hamil ini semuanya dijalankan dalam suasana berkumpulan dan menggunakan acuan yang menerapkan penilaian kesihatan hamil lazim serta pemberian maklumat, pendidikan dan sokongan teman sebaya.
Kami menjalankan ulasan sistematik terhadap kajian yang membandingkan kesan penjagaan pranatal berkumpulan berbanding penjagaan pranatal individu konvensional terhadap hasil psikososial, fisiologi, bersalin dan kelahiran untuk wanita dan bayi mereka serta kepuasan penyedia khidmat penjagaan. Empat kajian rawak terkawal (yang melibatkan 2350 ibu hamil) disertakan dalam ulasan ini: dua dijalankan di Amerika Syarikat, manakala satu lagi dijalankan di Sweden dan satu lagi di Iran. Kami tidak menemui perbezaan antara wanita yang menerima rawatan penjagaan berkumpulan dengan ibu hamil yang menjalani penjagaan satu-ke-satu dari segi titik hasil kehamilan yang penting seperti kadar kelahiran pramatang, berat lahir bayi atau kadar kematian bayi. Wanita yang menghadiri sesi penjagaan hamil berkumpulan tidak mempunyai kecenderungan yang lebih tinggi untuk memulakan menyusuan badan jika dibandingkan dengan ibu yang menerima penjagaan individu piawai. Dalam satu kajian, wanita yang menjalani jagaan hamil berkumpulan telah memberikan penilaian tahapi kepuasan yang serupa dengan ibu yang menjalani khidmat penjagaan secara individu.
Perbezaan ketara antara kajian-kajian tersebut telah diteliti. Satu kajian menyasarkan wanita muda berumur 14 hingga 25 tahun dalam persekitaran dengan ramai wanita Afrika Amerika yang mempunyai sumber kewangan yang terhad. Tujuan utama adalah untuk mengehadkan tingkah laku berisiko tinggi dalam penularan virus imunodefisiensi manusia (HIV) serta jangkitan seksual. Kajian lain menyelidiki kesediaan keluarga dalam persekitaran ketenteraan, dan satu lagi menjurus kepada penilaian tahap kepuasan wanita dan aspek emosi penjagaan ibu hamil.
Ulasan ini mempunyai keterbatasan yang disebabkan oleh bilangan kajian dan jumlah wanita yang amat sedikit, dengan satu kajian menyumbang 42% daripada wanita. Lebih banyak kajian diperlukan untuk menentukan sama ada penjagaan ibu hamil secara berkumpulan mendatangkan faedah yang ketara.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).