Suplemen fluorida (tablet, titisan, lozeng atau gula-gula getah) untuk mencegah kerosakan gigi pada kanak-kanak

Kerosakan gigi (karies gigi) boleh menyebabkan kesakitan dan membawa kepada kehilangan gigi. Dalam tempoh 30 tahun, prevalen karies gigi kanak-kanak di kebanyakan negara membangun telah menurun. Namun, sesetengah individu atau populasi mengalami peningkatan cabaran karies dan dianggap berada pada tahap ‘berisiko karies tinggi’.

Fluorida adalah mineral yang mencegah kerosakan gigi. Fluorida boleh diberi dalam berbagai cara sama ada secara topikal (ubat gigi, ubat kumur, varnish, gel) atau secara sistemik (suplemen fluorida, air berfluorida, garam). Hari ini, kesan pencegahan fluorida post-eruptif (topikal) dianggap lebih penting dari kesan pre-eruptif (sistemik). Fluorida topikal telah menunjukkan keberkesanan yang tinggi dan penggunaan ubat gigi yang mengandungi fluorida adalah hampir menyeluruh. Apabila pemberusan gigi secara harian dengan ubat gigi berfluorida tidak dapat dijalankan atau risiko karies yang tinggi, sumber fluorida tambahan boleh disyorkan.

Suplemen fluorida diberi dalam bentuk lozeng, tablet atau cecair. Dalam kajian sistematik ini, kami hanya mengambilkira pemberian fluorida melalui suplemen.

Kajian sistematik ini menunjukkan bahawa terdapat kesan pencegahan karies pada gigi kekal pada kanak-kanak (berumur lebih daripada 6 tahun), apabila dibandingkan suplemen fluorida dengan tiada suplemen. Tiada kesan berbeza di antara suplemen fluorida dan fluorida topikal untuk pencegahan gigi karies. Kebanyakan laporan penyelidikan yang dimasukkan dalam kajian sistematik ini dijalankan semasa penggunaan fluorida topikal belum meluas. Oleh itu terdapat kurang bukti daripada kajian sistematik ini untuk membuat cadangan yang sahih. Hari ini, kesan suplemen fluorida pada kanak-kanak yang menggunakan ubat gigi berfluorida secara tetap adalah terhad.

Dalam kajian sistematik ini, tiada kesimpulan dapat dicapai tentang keberkesanan suplemen fluorida untuk pencegahan kerosakan gigi kanak-kanak (kurang daripada 6 tahun) dengan gigi susu. Tambahan pula, tiada bukti yang mencukupi untuk menunjukkan sama ada penggunaan suplemen fluorida pada kanak-kanak (kurang daripada 6 tahun) boleh menyebabkan fluorosis enamel, iaitu kesan kronik akibat pengambilan fluorida berlebihan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (KolejPerubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia; hayatikk@usm.my)

Tools
Information