Ubat-ubat herba Cina untuk wanita tidak cukup subur dengan sindrom ovari polisistik

Soalan ulasan

Kami telah mengaji bukti-bukti tentang kesan ubat herba Cina (CHM) kepada kadar kehamilan kelahiran hidup dan peristiwa-peristiwa buruk dalam wanita tidak cukup subur dengan sindrom ovari polisistik (PCOS).

Latar belakang

PCOS adalah penyakit endokrin reproduktif kompleks yang biasa berlaku. Ia melibatkan 5% hingga 15% wanita dalam usia reproduktif. Wanita dengan PCOS boleh mempunyai kitaran haid yang tidak teratur, subfertility (kegagalan untuk hamil), hirsutism (pertumbuhan rambut yang berlebihan), jerawat dan obesiti. Banyak terapi perubatan barat telah digunakan untuk menguruskan PCOS, termasuk kontraseptif oral, clomiphene (ubat yang digunakan untuk mendorong ovulasi pada wanita), pemeka insulin (ubat yang membantu mengembalikan gula darah ke julat normal) dan penggerudian ovari laparoskopi (LOD) yang rawatan pembedahan yang boleh mencetuskan ovulasi pada wanita dengan PCOS. CHM telah dicadangkan sebagai satu cara alternatif untuk wanita tidak cukup subur dengan PCOS. Kami ingin menyiasat keberkesanan dan keselamatan CHM berbanding dengan terapi lain untuk wanita tidak cukup subur dengan PCOS.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari bukti dalam pangkalan data yang biasa digunakan. Bukti ini adalah terkini sehingga Jun 2020. Kami menyertakan lapan kajian terkawal rawak (RCT) dengan 609 peserta (tiga RCT baharu dengan 195 wanita dalam ulasan yang dikemas kini ini). Ini termasuk kajian yang membandingkan CHM dengan perubatan Barat, CHM serta perubatan Barat berbanding dengan perubatan Barat, dan CHM serta pembedahan berbanding dengan pembedahan. Tujuh daripada kajian yang disertakan telah dijalankan dan diterbitkan dalam bahasa Cina, dan selebihnya dalam bahasa Inggeris. Semua kajian mempunyai tempoh rawatan yang kurang daripada enam kitaran haid dan tempoh susulan yang kurang daripada satu tahun. Tiada satu kajian yang dilibatkan melaporkan kelahiran hidup, semua melaporkan kehamilan, dua melaporkan ovulasi dan hanya satu melaporkan peristiwa buruk.

Keputusan utama

Bukti yang dilaporkan tidak cukup untuk menyokong pengunaan CHM untuk wanita tidak subur dengan PCOS. Tiada data tersedia tentang kelahiran hidup. Tiada bukti yang konsisten untuk menyatakan bahawa CHM boleh bertambah baik kesuburan.

Apabila CHM dibandingkan pada clomiphene (dengan atau tanpa penggerudian ovari laparoskopi (LOD) dalam kedua-dua kumpulan kajian), kadar kehamilan tidak berbeza antara kumpulan rawatan dan kawalan. Bila membandingkan CHM ditambah aspirasi follikel dan induksi ovulasi serta aspirasi follikel dan induksi ovulasi sahaja, tidak terdapat perbezaan dalam kadar kehamilan boleh didapati. Apabila CHM ditambah LOD dibandingkan pada LOD sahaja, kadar kehamilan tidak berbeza antara kumpulan-kumpulan tersebut. Kepastian bukti adalah sangat rendah dan oleh itu kami tidak dapat membuat sebarang kesimpulan mengenai keputusannya.

Walau bagaimanapun, terdapat bukti kepastian rendah yang terhad untuk mencadangkan bahawa penambahan CHM kepada clomiphene boleh meningkatkan kadar kehamilan.

Oleh kerana bukti kepastian yang sangat rendah untuk semua kumpulan perbandingan untuk semua hasil, kami tidak dapat membuat kesimpulan. Bukti tentang peristiwa-peristiwa buruk untuk menyatakan bahawa CHM adalah selamat atau tidak adalah tidak mencukupi.

Kepastian bukti

Kepastian bukti adalah rendah atau sangat rendah. Batasan utama dalam pembuktian adalah kegagalan untuk melaporkan kelahiran hidup atau peristiwa buruk, kegagalan menerangkan kaedah kajian dengan terperinci, dan ketidaktepatan, dengan kadar peristiwa yang sangat rendah dan selang keyakinan yang lebar.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Sharon Chang Mei Wern (Taylor's University, Malaysia). Dikemaskini. Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information