Antioksidan bagi lelaki yang mengalami masalah subfertiliti (masalah kesuburan

Soalan ulasan
Adakah oral suplemen antioksidan dapat meningkatkan hasil kesuburan bagi lelaki subfertil jika dibandingkan dengan plasebo, tiada rawatan atau yang mengambil antioksidan lain?

Latar belakang
Pasangan boleh dikatakan mempunyai masalah kesuburan jika selepas setahun mencuba masih gagal untuk hamil. Ramai lelaki subfertil yang menjalani rawatan kesuburan mengambil suplemen diet dengan harapan ianya dapat meningkatkan kesuburan mereka. Rawatan fertiliti boleh menyebabkan stres yang melampau bagi para lelaki dan pasangannya. Adalah penting kepada pasangan-pasangan ini mempunyai akses kepada bukti kepastian yang tinggi bagi membolehkan mereka membuat keputusan sama ada perlu mengambil suplemen antioksidan ataupun tidak. Ini adalah penting kerana kebanyakan suplemen antioksidan tidak dikawal di bawah akta peraturan ubat-ubatan. Ulasan ini bertujuan untuk menilai sama ada oral suplemen antioksidan, diambil oleh lelaki yang subfertil, akan meningkatkan peluang bagi pasangan itu hamil (klinikal) yang disahkan oleh ultrasound dan berakhir dengan kelahiran bayi (kelahiran hidup). Ulasan ini tidak meneliti penggunaan antioksidan dalam kalangan lelaki yang mempunyai sperma yang normal.

Ciri-ciri kajian

Pengarang Cochrane menjalankan ulasan termasuk 90 kajian rawak terkawal yang membandingkan 18 antioksidan berbeza dengan plasebo, tiada rawatan atau antioksidan lain dalam jumlah populasi 10,303 lelaki subfertil. Julat umur peserta adalah 18 hingga 65 tahun; ia adalah sebahagian daripada pasangan yang telah dirujuk ke klinik kesuburan dan sesetengah daripada mereka ini telah menjalani rawatan kesuburan. Bukti adalah terkini setakat Februari 2021.

Keputusan utama
Antioksidan mungkin boleh dikaitkan dengan peningkatan kelahiran hidup dan kadar kehamilan klinikal. Berdasarkan populasi yang dikaji untuk kelahiran hidup, kami menjangkakan bahawa daripada 100 lelaki subfertil yang tidak mengambil antioksidan, 16 pasangan akan mempunyai bayi. Dalam lelaki subfertil yang mengambil antioksidan, antara 17 dan 27 setiap 100 pasangan akan mempunyai bayi. Jika kajian dengan risiko berat sebelah yang tinggi dikeluarkan daripada analisis, tidak ada bukti peningkatan kelahiran hidup dalam populasi yang mengambil antioksidan. Bagi mereka yang dikaji untuk kehamilan klinikal, kami menjangkakan bahawa daripada 100 lelaki subfertil yang tidak mengambil antioksidan, 15 pasangan akan mengalami kehamilan klinikal. Bagi lelaki subfertil yang mengambil antioksidan pula, antara 20 dan 30 setiap 100 pasangan akan mengalami kehamilan klinikal. Kesan-kesan buruk tidak dilaporkan dengan baik. Hanya enam kajian melaporkan keguguran. Dalam kajian ini, keguguran tidak berlaku lebih kerap dalam kumpulan yang menggunakan antioksidan jika dibandingkan dengan kumpulan dengan plasebo atau tanpa rawatan. Walau bagaimanapun, terdapat bukti yang tidak mencukupi untuk membuat kesimpulan tentang penggunaan antioksidan dan risiko keguguran. Penggunaan antioksidan mungkin dikaitkan dengan ketidakselesaan perut yang lebih ringan, dengan kekerapan 2% pada lelaki subfertil yang tidak mengambil antioksidan, dan antara 2% dan 7% pada lelaki yang mengambil antioksidan. Suplemen oral boleh menyebabkan ketidakselesaan seperti loya atau sakit perut.

Kesimpulan pengarang dan kepastian bukti 
Suplemen antioksidan yang diambil oleh lelaki subfertil yang dirawat di klinik kesuburan boleh meningkatkan kemungkinan kelahiran hidup. Walau bagaimanapun kepastian keseluruhan bukti adalah sangat rendah daripada hanya 12 kajian rawak terkawal bersaiz kecil hingga sederhana. Bukti kepastian rendah menunjukkan bahawa kadar kehamilan klinikal mungkin meningkat. Secara keseluruhan, tiada bukti peningkatan risiko keguguran. Bukti kepastian yang rendah menunjukkan bahawa antioksidan mungkin dikaitkan dengan lebih banyak ketidakselesaan gastrousus. Pasangan subfertil harus dimaklumkan bahawa secara keseluruhan bukti semasa tidak dapat disimpulkan kerana kaedah pelaporan yang lemah, kegagalan melaporkan kelahiran hidup dan kadar kehamilan klinikal, ketidaktepatan disebabkan oleh kadar kejadian yang rendah, bilangan keciciran yang tinggi dan saiz kumpulan belajar yang kecil. Kajian rawak terkawal menggunakan plasebo dengan jumlah yang besar yang dapat melaporkan mengenai kehamilan dan kelahiran hidup masih dikehendaki untuk menjelaskan peranan sebenar antioksidan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nik Hazlina Nik Hussain (Universiti Sains Malaysia). Dikemaskini. Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information