Ubat-ubatan anti-radang untuk rawatan sekatan tidur 'sleep apnea' kanak-kanak

Latar belakang

Sekatan tidur (OSA) merupakan saluran udara bahagian atas yang separa atau sepenuhnya tersumbat semasa tidur. Ia memberi kesan kepada kira-kira 1% kepada 4% daripada kanak-kanak. Punca yang paling biasa untuk OSA pada zaman kanak-kanak ialah kelenjar tonsil atau adenoid yang besar. Rawatan yang sedang disyorkan adalah pembedahan untuk membuang adenoid-adenoid dan tonsil-tonsil. Rawatan dengan ubat anti-radang adalah satu alternatif, rawatan bukan pembedahan dalam kes yang lebih ringan OSA.

Soalan ulasan

Ulasan ini bertujuan untuk menilai bukti manfaat dan keselamatan ubat-ubatan anti-radang untuk rawatan OSA kanak-kanak antara satu dan 16 tahun. Hasil utama ulasan adalah bilangan pernafasan terhenti dan episod pernafasan cetek sejam tidur (apnoea/hypopnoea index, AHI) dan kesan serius daripada ubat yang tidak diingini.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan lima kajian dalam ulasan. Setiap kajian ini melibatkan 25 hingga 62 kanak-kanak antara satu dan 11 tahun dengan OSA yang ringan kepada sederhana yang telah dirawat di klinik pesakit luar. Kajian termasuk menggunakan dua jenis ubat anti-radang yang berbeza. Tujuh puluh lima kanak-kanak telah dibahagi secara rawak untuk menerima semburan hidung kortikosteroid intranasal atau plasebo. Seratus tiga orang kanak-kanak telah dirawak untuk sama ada tablet montelukast atau plasebo.

Sumber pembiayaan kajian

Tiga kajian telah disokong oleh pengeluar ubat.

Keputusan utama

Kami tidak pasti tentang perbezaan dalam jumlah pernafasan terhenti, episod bernafas cetek, episod dengan kekurangan oksigen darah, atau gangguan tidur antara kanak-kanak yang menerima semburan hidung kortikosteroid berbanding dengan plasebo (2 kajian yang melibatkan 75 orang anak).

Kanak-kanak yang menerima tablet montelukast mempunyai kurang pernafasan menjeda, lebih sedikit episod bernafas cetek, dan gangguan tidur yang kurang berbanding dengan yang dirawat dengan plasebo (2 kajian yang melibatkan 103 orang). Walau bagaimanapun, kami tidak pasti tentang perbezaan dalam bilangan episod dengan kekurangan oksigen darah antara montelukast dan kumpulan plasebo.

Kesan yang tidak diingini dinilai dalam semua kajian, tetapi jarang berlaku dan bersifat kecil (contohnya nosebleeds). Kesan yang tidak diingini serius tidak dilaporkan.

Kepastian bukti

Kepastian bukti untuk semburan hidung kortikosteroid untuk rawatan OSA adalah rendah untuk hasil utama yang disebabkan oleh pelbagai kesan yang berfaedah dengan beberapa ketidakselarasan kesan antara dua kajian yang termasuk. Kami mengecualikan satu kajian daripada analisis yang disebabkan oleh kebimbangan yang serius mengenai kualiti keputusan kajian.

Bukti penggunaan tablet montelukast dalam rawatan OSA adalah kepastian yang sederhana untuk hasil utama. Terdapat kebimbangan mengenai reka bentuk dan pengendalian satu kajian dan beberapa ketidakselarasan terhadap kesan antara kedua-dua kajian yang termasuk.

Bukti ini adalah terkini sehingga Oktober 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information